Putera Miteb, anak Almarhum Raja Abdullah dibebaskan selepas bersetuju membayar AS$1 bilion. - Foto REUTERS
Putera Miteb, anak Almarhum Raja Abdullah dibebaskan selepas bersetuju membayar AS$1 bilion. - Foto REUTERS
AFP

PUTERA Miteb bin Abdullah yang sebelum ini Menteri Pengawal Kebangsaan Arab Saudi yang ditahan dalam operasi anti-rasuah kerajaan negara itu sejak tiga minggu lalu, dilaporkan dibebaskan selepas mencapai persetujuan membayar lebih AS$1 bilion (RM4.1 bilion)

Putera itu antara 200 kerabat diraja, menteri dan bekas menteri serta ahli perniagaan terkemuka yang ditahan dalam operasi yang diarah Putera Mahkota Mohammed bin Salman dengan restu bapanya, Raja Salman.

Putera Miteb antara senarai menaiki takhta, ialah kerabat diraja tertinggi dibebaskan setakat ini.

Kerajaan Arab Saudi dilapor berunding dengan tahanan supaya melepaskan sejumlah aset mereka yang didakwa diperolehi dengan cara tidak jujur, jika mahu dibebaskan.

“Ya, Putera Miteb dibebaskan pagi ini,” sumber yang rapat dengan kerajaan memberitahu AFP.

Bloomberg News melaporkan, putera itu dibebaskan selepas membayar lebih AS$1 bilion.

Sebelum ditahan, anak Almarhum Raja Abdullah yang kini berusia 64 tahun itu dilucutkan jawatannya sebagai Menteri Pengawal Kebangsaan iaitu pasukan keselamatan dalam negeri.

Penganalisis berpendapat beliau dipecat kerana Putera Mahkota Mohammed yang juga Menteri Pertahanan mahu menguasai sepenuhnya pasukan keselamatan

Dalam temuramah dengan New York Times yang disiarkan minggu lalu, Putera Mohammed berkata, 95 peratus mereka yang ditahan bersetuju dengan ‘penyelesaian’ atau menyerahkan aset serta wang tunai yang diperolehi secara tidak sah kepada kerajaan.

Peguam Negara Arab Saudi menganggarkan aset berjumlah AS$100 bilion terbabit dalam salah guna dan rasuah sejak beberapa dekad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 8:50 PM