Agensi

SEORANG wanita Arab Saudi ditahan pihak berkuasa negara itu selepas rakaman videonya memakai skirt dan baju pendek berjalan-jalan di sebuah kubu lama, tersiar di media sosial.

ABC News yang memetik laporan stesen televisyen Arab Saudi, al-Ekhbariya, melaporkan wanita itu ditahan polis di Riyadh kerana berpakaian tidak sopan bertentangan dengan adab berpakaian wanita di negara itu dan kesnya sudah dirujuk kepada pendakwaraya.

Dalam video melalui Snapchat yang tular sejak hujung minggu lalu, wanita berkenaan dirakam berjalan seorang diri di kawasan kubu bersejarah di Najd diikuti rakaman lain dia duduk di padang pasir.

Video itu mencetuskan hashtag di Twitter mendesak wanita berkenaan ditahan kerana melanggar undang-undang Arab Saudi yang menetapkan semua wanita, termasuk rakyat asing memakai abayas iaitu jubah longgar di tempat awam.

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, 31, dilapor mencadangkan sistem yang lebih terbuka untuk golongan muda, termasuk mengurangkan sekatan internet dan media sosial.

Minggu lalu, kerajaan Arab Saudi mengumumkan pelajar perempuan buat pertama kali dibenarkan menyertai sukan di sekolah awam serta boleh mengikuti kelas pendidikan jasmani.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 4:12 PM