SEORANG lelaki mencabar Pengawal Awam Sepanyol yang menghalang laluan masuk ke pusat mengundi di Sant Julia de Ramis. - Reuters
SEORANG lelaki mencabar Pengawal Awam Sepanyol yang menghalang laluan masuk ke pusat mengundi di Sant Julia de Ramis. - Reuters
AFP

Barcelona: Sekurang-kurangnya 91 orang cedera selepas polis antirusuhan menembak peluru getah dan merempuh pusat undian yang diadakan aktivis kemerdekaan di Catalonia semalam dalam pada ribuan orang membanjiri jalan untuk mengundi dalam referendum yang diharamkan Madrid.

Pertempuran tercetus apabila polis dikerahkan menutup pusat undian dan merampas kotak undi bagi menghalang orang ramai mengundi di wilayah di timur laut Sepanyol itu, tempat lebih 5.3 juta orang digesa menyuarakan pendapat mereka mengenai kemerdekaan daripada kerajaan pusat.

Di Barcelona, polis antirusuhan menyerbu sebuah sekolah untuk merampas kotak undi dan menyerang penunjuk perasaan yang duduk di lantai untuk menyekat laluan mereka, kata saksi.

Saksi mendakwa polis melepaskan peluru getah dengan seorang penunjuk perasaan dilihat mengalami kecederaan pada kaki.

SEORANG wanita diusir polis ketika cuba masuk ke pusat mengundi. - EPA
SEORANG wanita diusir polis ketika cuba masuk ke pusat mengundi. - EPA

Presiden Catalonia, Carles Puigdemont mengecam ‘keganasan yang tidak wajar’ itu.

Polis antirusuhan turut menyerbu sebuah pusat undi berhampiran Girona, dengan memecahkan pintu kaca pusat sukan sebelum memasukkan kotak undi ke dalam plastik sampah dan membungkusnya menggunakan pita.

Ribuan orang berkumpul di luar pusat mengundi ditetapkan di wilayah itu sejak sebelum Subuh.

Di Barcelona, barisan van polis tersusun di jalan raya, dengan anggotanya bersenjatakan peralatan antirusuhan berjalan dalam kalangan orang ramai yang memenuhi luar pusat undi.

‘Votarem, votarem!’ laung orang ramai dengan tangan mereka diangkat ke udara dalam bahasa Catalan yang bermaksud ‘Kami akan mengundi!’

Rakaman stesen televisyen Catalan menunjukkan orang ramai di bandar dan kampung seluruh rantau itu berkumpul menjelang referendum yang mencetuskan krisis politik paling buruk di Sepanyol dalam tempoh beberapa dekad.

BOMBA dan orang ramai bersemuka dengan polis di luar sebuah stesen mengundi. - Reuters
BOMBA dan orang ramai bersemuka dengan polis di luar sebuah stesen mengundi. - Reuters

Namun, apapun yang berlaku, hasil referendum yang dibuat semalam tidak akan diiktiraf kerajaan atau masyarakat antarabangsa.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol kelmarin memberitahu polis menutup kebanyakan 2,315 pusat mengundi di seluruh Catalonia.

Awal minggu lalu, polis Catalan memberi amaran mengenai risiko ‘menggangu perintah awam’ jika orang ramai dihalang daripada membuang undi.

Madrid menghantar beribu-ribu anggota polis tambahan daripada pasukan lain ke Catalonia untuk menghentikan referendum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 12:30 PM