HM Digital


ANGGOTA dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara mula beratur mengikut saluran ditetapkan untuk proses mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), hari ini.

Seramai 278,590 pengundi awal termasuk polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan tentera bersama pasangan mereka akan melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi awal di 586 pusat mengundi di seluruh negara.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dipetik berkata, jumlah itu adalah sebahagian besar daripada keseluruhan 300,255 pengundi awal yang berdaftar, manakala 21,664 orang lagi mengundi secara pos.

“Sebanyak 910 tempat mengundi (saluran mengundi) akan dibuka untuk tujuan pengundian dari 8 pagi dan ditutup pada 5 petang. Bagaimanapun, terdapat beberapa pusat mengundi awal akan ditutup lebih awal iaitu antara 1 tengah hari hingga 3 petang, manakala ada beberapa pusat mengundi yang ditutup pada 7 malam.

ANGGOTA polis mula beratur seawal pagi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi awal. -Foto SALHANI IBRAHIM
ANGGOTA polis mula beratur seawal pagi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi awal. -Foto SALHANI IBRAHIM

“Proses pengundian awal akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan oleh 6,376 petugas pilihan raya. Proses itu akan disaksikan oleh ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya berkenaan.

“Selain itu, Pemerhati Pilihan Raya Tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik SPR juga boleh memerhati proses pengundian awal itu, tertakluk kepada kebenaran masuk ke pusat pengundian daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohd Hashim berkata, kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi pada 5 Mei, sebaliknya akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap balai polis.

“Kertas undi itu hanya akan dikira pada 9 Mei (hari mengundi) bermula 4 petang.

“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR, dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen calon masing-masing,” katanya.

ANGGOTA polis beratur untuk mengetahui saluran mengundi masing-masing untuk Pengundian Awal PRU-14 di PULAPOL Kuala Lumpur. -Foto SALHANI IBRAHIM
ANGGOTA polis beratur untuk mengetahui saluran mengundi masing-masing untuk Pengundian Awal PRU-14 di PULAPOL Kuala Lumpur. -Foto SALHANI IBRAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 8:37 AM