RAMOS sokong ucapan Felipe.
RAMOS sokong ucapan Felipe.
AFP

ALICANTE, Sepanyol: Kapten Sepanyol, Sergio Ramos berisiko mencipta tekanan di kalangan rakan sepasukannya berhubung konflik kemerdekaan Catalonia apabila berkata ucapan Raja Sepanyol di televisyen sebagai ‘sempurna.’

Ucapan Raja Felipe VI, Selasa lalu menyinggung ramai penduduk di Catalan apabila menyifatkan impian pejuang kemerdekaan di wilayah berkenaan sebagai “tidak sah.”

Malah Felipe juga langsung tidak menyebut mengenai mangsa keganasan yang dicetuskan oleh pihak polis apabila mereka dicederakan kerana cuba untuk melakukan undian dalam referendum yang tidak dibenarkan.

Ramos yang beraksi di posisi pertahanan di Real Madrid berkata dia percaya ucapan Raja itu sebagai “Penting bagi semua rakyat di Sepanyol.”

“Saya mengangkat topi saya kepadanya,” kata Ramos dalam sidang media menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2018 menemukan La Roja dengan Albania.

FELIPE ketika berucap di televisyen berkenaan tuntutan penduduk Catalan. FOTO/AFP
FELIPE ketika berucap di televisyen berkenaan tuntutan penduduk Catalan. FOTO/AFP

“Walaupun baginda adalah penyokong Atletico Madrid, saya tetap menyukai Raja.”

FC Barcelona dan kapten kelab itu Andres Iniesta, semalam menggesa supaya diwujudkan dialog bagi mencari penyelesaian ketika krisis politik di Catalonia berhubung kemerdekaan kian memuncak.

Pertahanan Barcelona, Gerard Pique secara lantang menyuarakan kritikan terhadap taktik yang digunakan oleh pihak polis dan dia diejek beberapa kali ketika sesi latihan bersama skuad kebangsaan.

Ramos pada minggu lalu berpendapat Pique sepatutnya tidak menyuarakan pandangannya namun berkata krisis yang melanda Catalonia tidak merosakkan semangat berpasukan.

“Kami mempunyai hubungan yang cukup baik di sebalik perbezaan pendapat serta cara berfikir yang berbeza,” kata Ramos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 12:16 PM