AHLI keluarga Gauri meratapi kematiannya di Bangalore. - AFP
AHLI keluarga Gauri meratapi kematiannya di Bangalore. - AFP

New Delhi: Seorang wartawan wanita yang terkenal lantang mengkritik politik berhaluan kanan Hindu ditembak mati kumpulan lelaki tidak dikenali di Karnataka, selatan India, kata ketua menterinya semalam.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Siddaramaiah yang mengucapkan takziah atas kematian Gauri Lankesh di Twitter.

“Saya terlalu terkejut dengan berita pembunuhan wartawan terkenal ini. Tiada kata dapat menggambarkan kemarahan dirasai dengan kejadian itu.

“Saya mengarahkan ketua polis menjalankan siasatan menyeluruh untuk memastikan pelakunya dibawa ke meja pengadilan,” katanya di Twitter, lewat Selasa (waktu tempatan).

Gauri, 55, pengarang akhbar tabloid kerap mengkritik politik berhaluan kanan Hindu di India.

Menurut laporan Press Trust of India (PTI), wanita itu ditembak mati penyerang bermotosikal ketika membuka pintu pagar untuk memasuki kawasan rumahnya di ibu negeri, Bangalore.

Gauri dilaporkan mati serta-merta akibat tembakan ke dahi dan dada.

Ini bukan kali pertama pembunuhan aktivis politik di negeri yang dianggap antara paling progresif di India itu.

Pada 2015, India tersenarai sebagai negara paling berbahaya di Asia untuk wartawan oleh organisasi Wartawan Tanpa Sempadan.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 9:33 AM