SUSPEK, Chetan Singh, adalah seorang konstabel Pasukan Perlindungan Rel (RPF) dari Uttar Pradesh.
SUSPEK, Chetan Singh, adalah seorang konstabel Pasukan Perlindungan Rel (RPF) dari Uttar Pradesh.
BERNAMA

New Delhi: "Politik kebencian" dan perpecahan masyarakat di India dituduh sebagai punca kejadian seorang anggota polis membunuh empat orang dalam kereta api yang sedang bergerak pada Isnin.

Suspek dikenal pasti sebagai Chetan Singh, 34, seorang konstabel Pasukan Perlindungan Rel (RPF) dari Uttar Pradesh.

Singh membunuh rakan sejawatnya Tika Ram Meena, seorang penolong subinspektor (ASI), dan kemudian membunuh tiga lagi penumpang dalam kereta api yang sedang bergerak menuju bandar Mumbai.

Mangsa dikenal pasti sebagai Abdul Kadarbhai Mohammed Hussain Bhanpurwala, Asgar Abbas Sheikh, dan Sadar Mohammed Hussain, menurut laporan media tempatan.

Dalam sebuah video kejadian yang tular di media sosial, suspek didakwa membuat kenyataan berhaluan nasionalis Hindu di samping seorang daripada mangsa terbaring berlumuran darah di atas lantai.

"Pembunuhan yang dibuat secara kejam oleh seorang konstabel RPF adalah hasil daripada laporan media tempatan dan media sosial yang sangat memecah-belah masyarakat. Api kebencian kini berleluasa dan memerlukan usaha bersama untuk memadamkannya semula," kata Jairam Ramesh, seorang jurucakap parti Kongres.

"Ini adalah serangan pengganas yang secara khusus menyasarkan umat Islam," kata Asaduddin Owaisi, presiden parti All India Majlis-e-Ittehadul Muslimeen (AIMIM).

Beliau menyifatkan serangan ini sebagai hasil daripada ucapan kebencian yang dibuat oleh pemimpin nasionalis Hindu di negara itu.

Menurut kenyataan RPF yang dipetik media, suspek menembak ketiga-tiga mangsa di dua gerabak berbeza.

"Dia cepat marah dan panas baran. Tiada pergaduhan berlaku. Dia hanya hilang sabar dan menembak ketuanya, kemudian menembak sesiapa yang dilihatnya," kata Praveen Sinha, seorang pegawai kanan RPF, kepada media.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 9:53 AM