FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Riyadh: Arab Saudi melaksanakan hukuman baharu dengan menyiarkan nama pesalah gangguan seksual dalam terbitan akhbar tempatan dengan tujuan memalukannya.

Ia hukuman pertama seumpamanya dijatuhkan di bawah undang-undang baharu untuk menangani jenayah berkenaan.

Mahkamah Madinah memerintahkan Yasser Muslim Al-Arawi yang namanya disiarkan di akhbar persendirian, Okaz selepas tertuduh dijatuhkan hukuman lapan bulan penjara dan didenda 5,000 riyal (kira-kira RM5,565).

Arab Saudi mula menghukum pesalah gangguan seksual pada 2018, ketika kerajaan konservatif itu memulakan reformasi sosial yang meluas termasuk membenarkan wanita memandu.

Okaz dan TV Al-Ekhbariya milik kerajaan berkata, ia adalah permohonan pertama pindaan yang membolehkan mahkamah memerintahkan keputusan hakim disiarkan dalam akhbar tempatan.

Yasser didapati bersalah menyentuh dari belakang, menyerang secara lisan dan mengganggu mangsa, menurut laporan Okaz.

Menamakan dan memalukan kadangkala digunakan sebagai hukuman dalam kes lain di negara Teluk yang kaya termasuk Arab Saudi, di mana denda dilihat tidak menghalang pelaku melakukan kesalahan itu.

Sejak Putera Mahkota Mohammed Salman menjadi pemerintah Arab Saudi pada 2017, wanita Saudi menikmati kebebasan baharu termasuk memandu, mengembara bersendirian atau menghadiri acara sukan dan hiburan bersama lelaki.

Bagaimanapun, keterbukaan itu disertai dengan tindakan keras terhadap perbezaan pendapat dengan ada dalam kalangan penyokong hak wanita dipenjarakan atau menjadi sasaran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 6:50 AM