ORANG ramai melaungkan slogan sambil mengibarkan bendera Turki dan Qatar ketika menunjuk perasan menyokong Qatar di Istanbul, Turki, semalam.  - Reuters
ORANG ramai melaungkan slogan sambil mengibarkan bendera Turki dan Qatar ketika menunjuk perasan menyokong Qatar di Istanbul, Turki, semalam. - Reuters
Agensi

Ankara: Turki semalam mempercepatkan penempatan tenteranya di Qatar dan berikrar untuk menghantar bekalan makanan penting dan air minuman ke negara Teluk Arab itu yang berdepan sekatan daripada negara jirannya.

Dalam perpecahan paling buruk antara negara Arab sejak beberapa tahun lalu, Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu memutuskan hubungan dengan Qatar Isnin lalu dan menutup ruang angkasa mereka kepada penerbangan komersial dengan menuduh negara itu membiayai kumpulan militan.

Qatar menyangkal tuduhan berkenaan.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata, tindakan memencilkan Qatar tidak akan menyelesaikan masalah. Recep yang sejak dulu lagi berusaha memainkan peranan sebagai orang tengah kuasa serantau berkata, Ankara akan melakukan apa sahaja untuk menamatkan krisis dalam kalangan negara Teluk itu.

Parlimen Turki meluluskan rang undang-undang yang membenarkan tentera negara itu ditempatkan pangkalannya di Qatar.

Turki mengekalkan hubungan baik dengan Qatar serta beberapa negara Teluk lain. Turki dan Qatar masing-masing memberi sokongan kepada Ikhwanul Muslimin di Mesir dan menyokong kumpulan yang berusaha menggulingkan Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 8:28 AM