WANITA membeli-belah di pasar raya di Doha, Qatar pada 7 Jun 2017. FOTO Reuters
WANITA membeli-belah di pasar raya di Doha, Qatar pada 7 Jun 2017. FOTO Reuters
Reuters

KERAJAAN Qatar melarang kemasukan barangan yang berasal dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Mesir dan Bahrain, setahun selepas negara berkenaan mengenakan sekatan terhadap Doha atas tuduhan menyokong pengganas.

“Produk yang yang berasal dari negara yang membuat sekatan tidak boleh melepasi Wilayah Kastam Majlis Kerjasama Teluk, perlu menjalani pemeriksaan import yang betul dan prosedur kastam.

“Untuk melindungi keselamatan pengguna di Qatar dan memerangi barangan yang diseludup, kerajaan mengeluarkan arahan untuk mencari pembekal baru untuk pelbagai barangan yang terjejas,” kata kerajaan dalam satu kenyataan lewat kelmarin.

Akhbar Al Watan yang memetik pekeliling daripada Kementerian Ekonomi dan Kewangan mengarahkan pedagang dan kedai untuk berhenti berurusan dengan produk dari empat negara berkenaan.

Katanya, pihak berkuasa akan memantau bagi memastikan dasar itu dipatuhi.

Keempat-empat negara berkenaan memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan pada Jun tahun lalu.

Qatar, di mana kebanyakan barangan import dibawa menggunakan kapal dari UAE dan menerima makanan segar menerusi sempadan Saudi, menafikan tuduhan menyokong kumpulan pengganas.

Import ke Qatar menjunam sebanyak 40 peratus pada minggu-minggu awal sekatan tetapi kembali normal apabila Doha mendapatkan barangan daripada negara lain termasuk Turki dan mencari laluan perkapalan baru melalui beberapa negara termasuk Oman.

Qatar juga melancarkan kempen untuk menghasilkan barangan sendiri termasuk makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 6:26 PM