Agensi

SEORANG lelaki menggali kubur abangnya yang meninggal dunia setahun lalu, dan membawa keranda mengandungi mayat abangnya dengan basikal, bersiar-siar sekitar pekan Prata, di tenggara Brazil, hujung minggu lalu.

Elderlandes Rosa, 29, kemudian memberitahu polis, dia berbuat demikian kerana rindukan abangnya itu.

Menurutnya, dia bermimpi abangnya, Eri Erisberto, yang mati tahun lalu ketika berusia 30 tahun, memintanya bersiar-siar sekitar pekan dengan menunggang basikal seperti mereka lakukan sebelum ini.

Daily Mail melaporkan, berikutan itu, Elderlandes menggali kubur abangnya pada sebelah malam Sabtu lalu (Ahad waktu Malaysia), dan membawa keranda abangnya itu bersiar-siar dengan basikal sebelum mengeluarkan mayat abangnya dari keranda untuk ‘berbual’.

Gambar dan video kejadian itu kini tersebar meluas di internet di Brazil.

Pegawai polis di pekan itu, Luciano Goncalves, berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang ramai memberitahu kejadian itu.

“Lelaki itu beritahu dia terlalu rindukan abangnya, lalu menggali kuburnya, membawa keranda bersiar-siar sebelum mengeluarkan mayat dari kerandan untuk ‘berbual,” katanya.

Elderlandes ditahan kerana ‘mendera’ mayat yang membawa hukuman penjara tiga tahn penjara dan dibebaskan menunggu perbicaraan.

Dalam temuramah dengan stesen televisyen Brazil, Vitoriosa TV, dia menyatakan ia adalah janjinya kepada abangnya.

“Saya kata, jika dia mati dulu, saya akan membawanya bersiar-siar, ke tempat yang dia suka pergi.

“Sekarang saya sudah tunaikan janji. Selepas ini saya boleh tenang. Terpulang kepada mereka yang ketawa atau mempersendakan saya,” katanya.

Menurut keluarganya, Elderlandes amat sedih dan tidak dapat menerima hakikat abangnya sudah meninggal dunia.

Mayat abangnya dikebumikan kembali keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 10:47 PM