GAMBAR dirakam kelmarin menunjukkan pemimpin Korea Utara,  Kim Jong-Un (kiri) memeriksa misil jarak jauh di  lokasi yang dirahsiakan.  - AFP
GAMBAR dirakam kelmarin menunjukkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un (kiri) memeriksa misil jarak jauh di lokasi yang dirahsiakan. - AFP

Seoul: Korea Utara semalam meraikan pelancaran apa yang disifatkannya sebagai misil balistik jarak paling jauh pernah diujinya dalam usaha menyasarkan tanah besar Amerika Syarikat dengan senjata berkenaan.

Ia mendakwa misil berkenaan mampu dilengkapkan dengan peledak nuklear berat.

Pemimpinnya, Kim Jong-Un secara peribadi menyaksikan ujian berkenaan, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Misil berkenaan dilancarkan di kawasan tinggi dengan KCNA melaporkan ia terbang pada ketinggian 2,111.5 kilometer serta sejauh 787 kilometer sebelum jatuh di Laut Jepun.

Menurut agensi berita itu, misil baru itu ‘senjata paling lengkap’ yang mampu membawa peledak nuklear bersaiz besar.

Ia juga memetik Kim sebagai berkata, negara itu tidak akan tunduk kepada sebarang strategi ‘penuh mengarut’ Amerika Syarikat.

“Amerika Syarikat mempunyai strategi terhadap negara lemah dan yang tidak mempunyai nuklear. Jika ia berani melakukan provokasi ketenteraan terhadap Kora Utara, kami sudah bersedia menghadapinya,” kata Kim seperti yang dilapor KCNA.

Ketegangan antara kedua-dua negara itu memuncak beberapa minggu lalu dengan Washington berkata, tindakan ketenteraan adalah satu daripada pilihan yang ada, menyebabkan Pyonyang mengeluarkan ancamannya.

Di Beijing, Presiden Russia Vladimir Putin menyifatkan ujian misil terbaru Korea Utara itu sebagai berbahaya.

“Kami menentang peluasan kelab kuasa nuklear. Kami menganggap ujian misil itu tidak berfaedah dan berbahaya,” kata Putin kepada wartawan selepas forum antarabangsa di ibu negara China itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 9:42 AM