5 kesilapan perlu dielakkan lelaki ketika ke pejabat, majlis formal.
5 kesilapan perlu dielakkan lelaki ketika ke pejabat, majlis formal.
Redzuan Muharam


Bukan hanya wanita, malah lelaki juga ada keinginan untuk tampil bergaya lebih-lebih remaja yang terdedah dengan perkembangan fesyen terkini.

Selain bahan bacaan seperti majalah fesyen dan rujukan di Internet, paparan gambar OOTD (Outfit Of The Day) dimuat naik selebriti dan personaliti media sosial turut menjadi rujukan yang secara tidak langsung mempengaruhi gaya mereka.

Namun, beberapa aspek perlu diambil kira supaya ‘outfit’ digayakan bersesuaian dengan penampilan dan badan.

Jangan disebabkan kesilapan memilih pakaian, gaya anda kelihatan canggung dan serba tidak kena sedangkan perkara itu boleh dielakkan.

Untuk itu, Gen Y kongsikan lima kesilapan gaya yang sering dilakukan lelaki ketika ke majlis formal atau pejabat dan alternatif untuk tampil lebih baik:

1. KEMEJA BERSAMA SELUAR SLACK RONA GELAP

Ramai yang memilih padanan ini dengan alasan mahu penampilan nampak seimbang dan tidak keterlaluan.

Namun padanan ‘gelap-gelap’ ini sebenarnya perlu dielakkan kerana akan menjadikan penampilan anda kelihatan kusam dan membosankan.

Jadi, alternatifnya adalah memadankan seluar slack atau khaki dengan rona kemeja yang lebih terang seperti merah jambu, oren atau warna pastel.

Ingat! Anda masih muda jadi jangan takut bermain dengan warna kerana belum cuba, belum tahu!

2. KASUT LOAFER BERSAMA STOKING PANJANG

Benar, kasut lebih selesa dipakai bersama stoking. Namun, untuk kasut jenis loafer, pemakaian stoking panjang adalah satu kesilapan.

Sebaliknya, stoking pendek yang sekadar menutupi jari dan tapak kaki alternatif yang lebih sesuai.

Untuk itu, jangan ulangi kesilapan sama dan pilih stoking sesuai mengikut kasut yang dipakai. Nampak remeh tetapi pemilihan stoking juga tidak kurang pentingnya!

3. STOKING PUTIH BERSAMA KASUT GELAP

Anda bukan pengawas sekolah jadi elak sama sekali memakai kasut kulit rona gelap terutama yang berwarna hitam bersama stoking putih.

Ini kerana kasut gelap lebih sesuai dipakai dengan stoking rona senada dengannya contohnya hitam atau biru gelap .

Begitu juga jika anda memakai kasut rona coklat, stoking berwarna ‘beige’ (kuning air) lebih sesuai dipakai melainkan, anda ada cita-cita meniru gaya Micheal Jackson!

4. SELUAR RONA GELAP DENGAN KASUT COKLAT

Cuba elakkan memakai seluar slack rona gelap bersama kasut kulit berwarna coklat kerana ini sama sekali tidak bersesuaian.

Untuk pengetahuan anda, seluar slack rona gelap hanya sesuai disuai padan dengan kasut kulit berwarna hitam.

Jadi, jangan lakukannya hanya kerana anda mahu mencuba untuk tampil berbeza daripada yang lain.

Mencuba atau bereksperimen dalam fesyen itu tidak salah namun anda perlu tahu asasnya!

5. SUT RONA ‘BEIGE’ DENGAN INDIVIDU KULIT CERAH

Pemakaian sut ada kalanya perlu terutama ketika menghadiri acara formal sebagai tanda menghormati majlis berkenaan.

Selain potongannya, warna sut itu juga memainkan peranan dan mempengaruhi penampilan keseluruhan anda.

Bagi mereka yang berkulit cerah, elakkan memakai sut berona ‘beige’ kerana ia lebih sesuai untuk individu berkulit lebih gelap.

Sebaliknya, anda perlu memilih rona sut lebih terang tetapi tidak pula terlalu gelap supaya penampilan kelihatan seimbang dan nampak menyerlah!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 2:17 PM