WARNA gincu boleh dipilih berdasarkan bentuk dan warna bibir.
WARNA gincu boleh dipilih berdasarkan bentuk dan warna bibir.
Hajahfarhana Tarmudi


Ada kalanya, wanita sering memikirkan hal kecil berbanding lelaki. Bermula daripada memilih warna baju dan potongan yang senada dengan sepatu, dandanan rambut atau lilitan tudung hingga lukisan alis kening yang tidak sempurna, sudah cukup membuatkan ‘mood’ mereka berubah.

Tidak kurang juga soal warna gincu. Ada yang tidak kisah mengoleskan gincu sama setiap hari namun kebanyakan wanita lebih suka untuk memilih warna yang bersesuaian dengan warna pakaian, tema dan gaya pada hari itu

Itu semua, ada kalanya difikirkan dengan serius sehingga membuatkan anda yang mampu bersiap pantas, terpaksa lewat ke tempat kerja.

Justeru, bagi tidak menghabiskan masa sia-sia dengan hanya memikirkan warna gincu di samping dapat menaikkan semangat dan keyakinan sebelum kaki melangkah ke luar rumah, boleh ikuti beberapa panduan dalam memilih rona sesuai, mungkin ia boleh membantu anda bersiap dengan lebih pantas.

1. Bentuk bibir

Perhatikan bentuk bibir anda terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk membeli warna gincu yang cerah atau gelap. Ini kerana warna yang gelap boleh membuatkan bibir kelihatan lebih kecil.

Warna gincu yang cerah pula boleh membuatkan bibir tampak lebih besar. Justeru, sebelum membeli gincu, perhatikan bentuk bibir sama ada ia bersaiz kecil atau besar dan sebab untuk anda memiliki warna berkenaan.

2. Satu warna gincu yang mudah dipadankan dengan pelbagai warna pakaian

Walaupun anda begitu menyukai pelbagai pilihan warna gincu, pastikan sekurang-kurangnya memiliki satu warna yang boleh dipakai untuk ke mana saja. Pilih warna yang semula jadi dan menjadi kegemaran untuk digayakan setiap hari.

3. Warna kulit sesuai

Kita sering melihat wanita yang berkulit cerah beruntung kerana boleh mengenakan apa sahaja warna gincu. Apa sahaja warna yang dipilih nampak sepadan dan cantik. Mereka boleh saja bergaya semula jadi dengan warna gincu seperti nude, kuning kemerah-merahan atau coklat muda.

Warna merah muda juga tampak sesuai dengan ton kulit anda yang putih, namun elakkan daripada memilih rona gincu yang terlalu cerah kerana boleh menonjolkan kulit yang pucat.

4. Warna hangat untuk kulit sederhana

Untuk si manis berkulit sederhana jangan bimbang kerana ada banyak warna gincu yang bersesuaian dengan si pemilik kulit medium. Kulit medium terlihat sempurna dengan warna hangat seperti tembaga atau coklat kekuningan, namun sesekali boleh juga gayakan gincu rona merah, kuning kemerah-merahan atau fuschia (merah jambu keunguan).

5. Si pemilik kulit gelap

Pemilik kulit gelap juga boleh mengenakan gincu rona cerah atau warna kesukaan diinginkan. Tidak perlu bimbang untuk memilih rona gincu sesuai kerana di pasaran kini banyak warna yang ditampilkan oleh jenama tempatan atau antarabangsa.

Misalnya, warna merah tua, coklat kekuningan dan tembaga sangat sesuai dengan ton kulit gelap. Bukan itu saja, boleh juga gayakan gincu rona cerah seperti nude, namun perlu diingat elakkan rona oren untuk bibir anda.

6. Ketahui warna bibir

Cuba gunakan gincu bahagian bawah bibir saja dan bandingkan dengan atas bibir. Jika bayangannya jauh berbeza, pilih warna lain.

• Cerah: Bagi kulit cerah, boleh cuba gincu berwarna merah jambu, merjan, kuning kemerah-merahan, nude atau beige.

• Medium: Pemilik warna kulit medium sesuai dengan gincu berwarna mawar atau beri.

• Gelap: Warna kecoklatan dan ungu sesuai untuk mereka yang berkulit gelap.

7. Sebelum membeli, cuba terlebih dulu

Cukup sapukan gincu yang ingin dicuba di kawasan berdekatan jari kerana kulit di bahagian itu warnanya hampir sama dengan rona bibir. Jika memilih sapuan gincu jenis matte, ia akan memberikan kesan bentuk bibir yang lebih kecil. Sebaliknya, jika memilih gincu berkilau, ia akan membuatkan bentuk bibir kelihatan lebih besar.

8. Sesuaikan dengan penampilan

Boleh juga tentukan warna gincu sesuai dengan penampilan. Anda tidak perlu menyamakan warna gincu dengan baju. Misalnya, apabila mengenakan pakaian berwarna merah darah, bukan bererti anda harus menggunakan warna merah darah pada bibir juga.

Boleh ikuti panduan ini untuk menyesuaikan warna gincu yang sesuai:

• Nude: Warna nude sesuai hampir untuk semua penampilan, kasual atau dramatis.

• Merah: Warna merah akan membuat penampilan lebih menonjol walaupun pakaian yang digayakan biasa saja. Hindari mencampurkan warna gincu merah dengan pakaian yang terang atau motif mewah.

• Merah jambu: Warna merah jambu memang tersedia dalam berbagai jenis. Merah jambu yang sedikit lebih terang daripada warna semula jadi bibir sesuai untuk penampilan seharian.

• Beri: Warna beri yang cenderung gelap sesuai untuk kamu yang ingin tampil sedikit misteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 1:17 PM