JOHNATHAN Wong
JOHNATHAN Wong
PERALATAN asas menembak yang digunakan Johnathan.
PERALATAN asas menembak yang digunakan Johnathan.
AKSI Johnathan di Olimpik Rio.
AKSI Johnathan di Olimpik Rio.
Fatin Farhana Japre


Penembak negara, Johnathan Wong, 25, sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk beraksi di Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 pada 19 hingga 30 Ogos ini.

Meskipun bakal berdepan pemenang emas Olimpik Rio dari Vietnam, Hoang Xuan Vinh, Johnathan tetap positif dengan melihat peluang seimbang untuk muncul juara.

Berkongsi kisah pembabitannya menerusi sukan menembak, Johnathan berkata pada usia 12 tahun dia menyertai Persatuan Menembak Melaka sekadar suka-suka dan tidak sangka ia menjadi serius.

“Secara jujurnya, saya sebenarnya ‘dipaksa’ ayah menyertai sukan ini memandangkan cuti sekolah tidak melakukan apa-apa aktiviti.

“Niat saya hanya mengisi masa lapang tetapi apabila diberi peluang menggunakan pistol buat kali pertama perasaan teruja muncul untuk belajar lebih banyak teknik yang betul.

“Daripada filem aksi di televisyen saya sangka sepucuk pistol mudah dikendalikan, namun saya silap sama sekali. Hakikatnya tidak mudah kerana sasaran tidak bergerak dan perlu pastikan kedudukannya supaya dapat membuat bidikan dengan tepat.

“Malah fizikal dan mental kena kental menjalani segala latihan yang jurulatih jadualkan. Ramai yang tarik diri semasa ‘batch’ saya kerana tidak tahan dengan latihan teknik membidik sasaran menyebabkan tangan lenguh.

“Kira-kira enam bulan saya mahir menggunakan pistol dan mampu membidik sasaran dengan tepat sekali gus berpeluang mewakili Melaka ke pertandingan menembak di Subang bawah kategori junior,” katanya.

Penuntut jurusan kejuruteraan aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia ini berkata dia semakin teruja menyertai banyak pertandingan menembak sehingga terpilih sekali lagi mewakili Melaka untuk beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA), Kedah pada usia 15 tahun.

“Ketika ini saya mula fokus untuk menonjol dalam sukan ini tetapi nasib tidak menyebelahi saya. Namun saya belajar banyak perkara baru dan dapat bertemu dua mata dengan atlet yang berpengalaman.

“Saya tidak berputus asa, komited menjalani latihan dan sering dihantar beraksi di pertandingan besar untuk memantapkan lagi kebolehan.

“Boleh dikatakan perjalanan karier saya bermula pada 2009 apabila ditawarkan memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sekali gus menjadi pelapis kebangsaan pasukan junior.

“Mulanya saya agak kekok sesuaikan diri untuk seimbangkan antara sukan dan akademik apatah lagi tahun itu saya bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi bila ada masa terluang saya akan mengulang kaji pelajaran dan berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang iaitu 7A 3B,” katanya.

Johnathan berkata, bakatnya semakin menyerlah pada 2012 apabila ditawarkan menyertai pasukan kebangsaan dan memenangi banyak pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Prestasi saya bertambah baik kerana memenangi banyak kejohanan seperti meraih pingat emas di Mini Olimpik Malaysia 2010.

“Buat pertama kalinya, saya layak beraksi di Sukan SEA Palembang 2011 dan terus menanam tekad dalam diri untuk melayakkan diri ke Sukan ASEAN serta Sukan Komanwel mengikuti jejak langkah atlet senior lain,” kata anak kelahiran Melaka ini.

Ketika ditanya mengenai persediaan menjelang Sukan SEA, Johnathan berkata dia masih menghadiri kuliah walaupun perlukomited dengan sesi latihan yang padat.

“Ini kali keempat saya layak beraksi di Sukan SEA dalam acara 10 meter (m) dan 50m pistol tetapi situasi ini amat tegang buat saya kerana berlangsung di negara sendiri.

“Saya menjalani latihan setiap hari pada waktu pagi dan petang selama tiga jam. Memang saya berjuang habis-habisan untuk meningkatkan prestasi apatah lagi rakyat Malaysia menaruh harapan yang tinggi untuk mendapat emas.

“Saya akan lakukan yang terbaik untuk maruah negara kita!,” katanya yang ditemui ketika menjalani latihan di lapang sasar menembak Majlis Sukan Negara, baru-baru ini.

Kata anak ketiga daripada empat beradik ini lagi, dia berharap sukan menembak berada di tahap tertinggi setaraf sukan terkenal lain supaya lebih ramai remaja berminat dan menjadi pelapis pada masa akan datang.

“Atlet menembak di negara kita sangat terhad, jadi saya berharap lebih ramai anak muda membabitkan diri menerusi sukan ini untuk mengukir nama negara di peringkat dunia,” katanya yang sudah mula melakukan persiapan untuk Sukan ASEAN dan Sukan Komanwel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 2:18 PM