YUSRI berkata, tiada sasaran khusus diletakkan kepada atlet negara yang beraksi di Kejohanan Menembak GP ISSF Jakarta. FOTO Ihsan Facebook Yusri Jusoh
YUSRI berkata, tiada sasaran khusus diletakkan kepada atlet negara yang beraksi di Kejohanan Menembak GP ISSF Jakarta. FOTO Ihsan Facebook Yusri Jusoh
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas menyepi selama dua tahun akibat penularan Covid-19, skuad menembak negara akhir berpeluang melepaskan 'dendam' apabila menyertai Kejohanan Menembak GP ISSF Jakarta.

Seramai 13 orang atlet terpilih untuk menyertai kejohanan berkenaan yang akan berlangsung sehingga 17 Februari ini menyaksikan skuad menembak negara sudah pun meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Pengurus pasukan Yusri Jusoh ketika dihubungi berkata, tiada sasaran khusus diletakkan kepada atlet negara namun mengharapkan mereka dapat mempamerkan aksi terbaik sebagai persediaan ke temasya Sukan SEA Vietnam Mei nanti.

"Ia adalah kejohanan pertama yang disertai oleh atlet negara selepas dua tahun tanpa sebarang pertandingan kompetitif jadi persatuan memang tidak meletakkan sasaran khusus.

"Penyertaan ini lebih kepada mendedahkan kembali atlet kepada 'mood' pertandingan dan memperbaiki skor mata dalam acara masing-masing," katanya.

Bagaimanapun atlet dapat beraksi dengan baik apabila Nurul Syasya Nadiah Mohd Ariffin meraih emas dalam acara 10 meter (m) air pistol, perak disumbangkan oleh Johnathan Wong, Wan Mugammad Syafiq Wan Mustaza, Abdul Hadi Abdul Malik dalam acara 10m air pistol lelaki berpasukan manakala Johnathan menghadiahkan gangsa Wong 10m air pistol lelaki.

Malah kejohanan berkenaan juga akan menjadi titik tolak kepada pemilihan senarai atlet ke temasya Sukan Sea nanti sebelum senarai akhir diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"70 peratus atlet yang beraksi di kejohanan ini akan ke Sukan Sea. Namun ada cadangan daripada persatuan untuk mengadakan pemilihan terakhir dengan menganjurkan kejohanan tertutup.

"Ia memberi peluang kepada mana-mana atlet yang berada di luar program iaitu seramai tujuh atlet untuk cuba meyakinkan persatuan," katanya.

Malaysia dijangka menambah kutipan pingat apabila atlet negara Alia Sazana Azahari yang menyumbangkan emas di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan Bibiana Ng turun beraksi dalam acara masing-masing hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 9:42 PM