JOHNATHAN WONG GUANJIE
JOHNATHAN WONG GUANJIE
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

JOHNATHAN Wong Guanjie menyifatkan tembakan pertamanya dalam saingan 10m air pistol Sukan Komanwel sebagai buruk selepas dia menamatkan aksi tanpa pingat di Pusat Menembak Belmont, hari ini.

Atlet kelahiran Melaka itu yang melayakkan diri catatan mata ketiga tertinggi iaitu 570, sekadar membidik 7.8 mata pada tembakan sulung, diikuti 8.2 sementara bidikan lainnya purata 9.0 ke atas.

Dia muncul pencabar pertama tersingkir pada saingan final dengan keseluruhan pungutan 112 mata.

Johnathan yang memenangi pingat emas pada acara sama di Sukan SEA Kuala Lumpur sebak ketika ditemui pemberita selepas acara final itu dimenangi wakil India, Jitu Rai dengan rekod kejohanan 235.10 mata.

“Saya bergelut dengan teknik menembak pada pusingan kelayakan. Saya fikir ia akan bertambah baik di final, tetapi sebaliknya ia menjadi lebih teruk.

“Saya melakukan lebih baik pada tembakan kedua tetapi pencabar lain semua sudah jauh di depan dan sukar untuk saya mengejar.

“Saya sudah mencuba yang terbaik. Saya mengikuti semua strategi ditetapkan jurulatih tetapi ia tidak berjalan seperti dirancangkan,” kata Johnathan.

Johnathan berkata, pungutan 570 mata pada pusingan kelayakan jauh daripada prestasi terbaiknya.

“Catatan normal saya adalah antara 577-580 mata sewaktu latihan. Apapun, saya perlu melupakan kekecewaan ini dan kembali fokus untuk acara 50m pistol pada Rabu ini.”

Dalam acara 10m air rifle wanita, Nur Suryani Taibi gagal mara ke final selepas terkandas di pusingan awal dengan berkedudukan ke-11 selepas hanya membidik 406.60 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 6:55 PM