MUHAMMAD Hisyam mula mengumpul tali pinggang gusti sejak lima tahun lalu.
MUHAMMAD Hisyam mula mengumpul tali pinggang gusti sejak lima tahun lalu.
MEMPERAGAKAN tali pinggang kepunyaannya.
MEMPERAGAKAN tali pinggang kepunyaannya.
MEMPERAGAKAN tali pinggang kesayangan ketika majlis persandingan.
MEMPERAGAKAN tali pinggang kesayangan ketika majlis persandingan.
BERSAMA keluarga.
BERSAMA keluarga.
Redzuan Muharam


Minat menonton rancangan gusti mendorong seorang guru, Muhamad Hisyam Mohd Padzil, 27, terbabit dengan hobi mengumpul aksesori yang sinonim dengan sukan lasak berkenaan iaitu tali pinggang ‘gergasi’.

Anak kelahiran Muar, Johor ini berkata, tali pinggang itu dikumpul sejak lima tahun lalu dan sehingga kini dia membelanjakan kira-kira RM10,000 untuk membeli aksesori berkenaan.

Muhamad Hisham berkata, buat masa ini, dia mempunyai tujuh koleksi tali pinggang terdiri daripada jenis plastik dan besi.

“Bukan saja saya tetapi abang sulung turut berkongsi minat yang sama iaitu menonton rancangan gusti dan sejak kecil kami kerap menghabiskan masa bersama-sama.

“Disebabkan itu, kami tidak mahu ketinggalan untuk mengetahui perkembangan sukan lasak berkenaan dan ia antara faktor saya mengikuti komuniti gusti di Facebook.

“Tak sangka pula, pengasasnya gemar mengumpul tali pinggang dan dari situ, timbul minat saya untuk mengikuti jejak langkahnya menjadi pengumpul,” katanya yang berkhidmat di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghazali di Kuala Lipis, Pahang.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, setiap koleksi membawa gelaran tertentu dan kini disimpan dengan baik di dalam rak kaca.

Menurut Muhamad Hisyam, dia tidak pernah terfikir untuk menjual tali pinggang itu kepada sesiapa sebaliknya akan terus menambah koleksi sebagai simpanan peribadi.

“Antara tali pinggang yang ada di dalam simpanan saya termasuk dari kategori ‘Heavyweight Championship’, ‘Universal Championship’, ‘Intercontinental Championship’, ‘WCW Heavyweight Championship’, ‘US Championship’ , ‘Women Championship’ dan ‘WWE Championship Spinner’.

“Saya membelinya dari laman web rasmi jualan iaitu wweshop.com dengan anggaran RM700 dan paling mahal berharga RM2,200.

“Harganya bergantung kepada jenis tali pinggang dan walaupun ada yang menganggap hobi ini satu pembaziran, saya tetap puas kerana dapat memakainya ketika menghadiri perjumpaan dengan ahli komuniti juga semasa hari persandingan yang lalu,” katanya.

Bercerita lanjut, Muhamad Hisyam berkata, tali pinggang kepunyaannya kerap menjadi tumpuan bukan saja dalam kalangan tetamu yang datang ke rumah tetapi anak muridnya di sekolah.

Katanya, ia mungkin kerana ia agak ‘rare’ memandangkan tidak ramai yang mengumpulnya selain jarang dilihat kecuali dalam rancangan gusti.

“Pelajar cukup teruja apabila mengetahui saya mengumpul koleksi tali pinggang berkenaan dan sebab itu saya ambil kesempatan itu dengan meletakkan syarat kepada mereka yang ingin memegangnya.

“Syaratnya adalah mendapatkan keputusan cemerlang di dalam peperiksaan terutama dalam subjek saya ajar iaitu Sejarah .

“Bagi saya, tawaran ganjaran itu salah satu usaha bagi memberi motivasi kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang pernah bertemu dengan jaguh sukan gusti, Booker T.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 7:41 AM