KOLEKSI wang kepunyaan Muhammad Amzar.
KOLEKSI wang kepunyaan Muhammad Amzar.
MUHAMMAD Amzar bersama koleksi wang kertas dan duit syiling kepunyaannya.
MUHAMMAD Amzar bersama koleksi wang kertas dan duit syiling kepunyaannya.
MUHAMMAD Amzar bersama koleksi wang kepunyaannya.
MUHAMMAD Amzar bersama koleksi wang kepunyaannya.
Redzuan Muharam


Memiliki wang RM10 dianggarkan bernilai RM1,500 antara kepuasan Muhammad Amzar Muzhar, 25, sejak terbabit dengan hobi mengumpul duit kertas dan syiling empat tahun lalu.

Meskipun boleh menjual semula untuk mendapatkan pulangan, dia enggan berbuat demikian kerana lebih selesa menjadikannya sebagai koleksi peribadi.

Katanya, tiada sebab untuk dia menjualnya kepada sesiapa memandangkan tujuan utamanya mengumpul untuk kepuasan peribadi dan bukan mencari pendapatan sampingan.

“Mulanya, saya hanya gemar melihat koleksi duit terutama yang lama kemudian timbul pula minat untuk mengumpul.

“Lagipun, ramai rakan yang berkongsi minat sama jadi mudah untuk saya membeli atau bertukar koleksi dengan mereka.

“Selain memberi kepuasan, saya rasa seronok lebih-lebih lagi apabila melihat koleksi yang semakin bertambah berbanding ketika baru-baru menjadi pengumpul,” katanya.

Menurut Muhammad Amzar, disebabkan minat, dia sanggup menyimpan sebahagian pendapatan bulanannya untuk membeli wang yang diinginkan.

Katanya, alternatif lain pula adalah dengan membeli dengan pengumpul lain yang kebanyakannya memilih laman sosial sebagai medium jual beli.

“Buat masa ini, koleksi simpanan saya terdiri daripada wang tempatan baru dan lama bernilai RM1 sehingga RM100.

“Ada yang beranggapan wang lama lebih mahal, namun tidak juga kerana nilainya turut bergantung kepada keadaan duit berkenaan dan nombor siri.

“Mereka yang mengumpul wang biasanya tahu mengenai hal ini dan saya gembira kerana keluarga tidak menghalang sebaliknya memberi sokongan,” katanya.

Muhammad Amzar berkata, selain wang kertas, dia turut mengumpul beberapa barangan lain antaranya set kereta mainan Hot wheels.

Namun, keutamaannya tetap kepada mengumpul wang kerana sudah sebati dengan hobi berkenaan.

“Dengan menyimpan wang ini, saya dapat mengetahui perkara berkaitan dengannya sekali gus memelihara khazanah negara.

“Zaman mungkin berubah namun nilai wang ini akan meningkat walaupun sudah berusia puluhan atau ratusan tahun.

“Sebab itu saya tidak akan sesekali menjualnya kerana sayang dan bukan mudah untuk mendapatkan koleksi di dalam simpanan sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 11:31 AM