REKA bentuk rumah mini atau rumah kecil yang sesuai untuk didiami.
REKA bentuk rumah mini atau rumah kecil yang sesuai untuk didiami.
Nurul Husna Mahmud


RUMAH kecil atau 'tiny house' adalah satu konsep kediaman yang meraikan gaya hidup dengan mendiami unit kediaman kecil dengan kelengkapan sederhana.

Percaya atau tidak Elon Musk yang juga pengasas Tesla pernah menginap rumah dengan keluasan terhad di Bocha Chica, Texas, Amerika Syarikat.

Konsep mendiami atau memiliki rumah kecil dikatakan realistik apabila menimbang kepada beberapa faktor terutama bajet memiliki rumah semakin mahal selain trend gaya hidup lebih minimalis.

Gerakan memilih konsep rumah kecil sebagai gaya hidup bermula dari barat tular sehingga ke Malaysia dengan melihat konsep rumah berkeluasan kira-kira 55 meter persegi masih praktikal bagi kelompok peminatnya.

Kunjungan penulis baru-baru ini ke pameran 'Mini Home' di Kamunting, Taiping, Perak memberi pengamatan jelas mengenai konsep atau gaya rumah kecil yang semakin baik diterima rakyat tempatan.

Menurut Pengurus Razo Mini Home, Zinnirah Osman, konsep rumah atau kediaman mini kian popular terutama untuk rumah persinggahan dan percutian.

"Rumah kecil semakin mendapat permintaan kerana pengaruh media sosial selain ada rancangan televisyen popular memaparkan gaya hidup penghuni rumah mini.

REKAAN rumah mini yang mengikut keperluan pemilik tempatan.
REKAAN rumah mini yang mengikut keperluan pemilik tempatan.

"Namun, dari segi kesesuaian model rumah kecil untuk dihuni pemilik tempatan, ada beberapa aspek atau ciri-ciri reka bentuk rumah kecil dari barat tidak sesuai di Malaysia.

"Contohnya rekaan rumah kecil di barat banyak menggunakan cermin, tidak praktikal untuk rekaan rumah kecil di sini.

"Faktor keselamatan, sensitiviti masyarakat setempat dan cuaca menjadi elemen terhadap reka bentuk kediaman kecil lebih ideal untuk rakyat Malaysia," katanya.

Kata Zinnirah, model rumah kecil diperkenalkan adalah standard rumah berbanding mengubah suai kabin atau material lain yang tidak sesuai untuk pembinaan rumah.

BOLEH diubah kedudukan, dibuka dan dipasang.
BOLEH diubah kedudukan, dibuka dan dipasang.

"Peminat rumah kecil di Malaysia pengaruhnya ramai dan awal dahulu konsep ini menggunakan kabin. Untuk kediaman dengan mengubah suai kabin tidak begitu tepat kerana material kabin direka bagi perlindungan sementara.

"Berbanding tujuan pembinaan rumah bertujuan perlindungan atau tempat berteduh penghuni untuk jangka panjang," katanya.

Zinnirah menjelaskan lagi, penggunaan teknologi sekarang dalam pembinaan model rumah kecil menepati piawaian sebagai tempat tinggal.

"Struktur rumah kecil menggunakan kerangka besi dan kayu bersama penebat dinding terdiri daripada material busa menjadikan suasana dalam rumah selesa dan tidak panas.

RUANG dalam rumah yang dilengkapi dengan keperluan asas.
RUANG dalam rumah yang dilengkapi dengan keperluan asas.

"Melengkapkan lagi dalam pembinaan rumah kecil ialah penggunaan material hasil teknologi material iaitu gentian papan simen (fiber cement board fiber).

"Material terbabit meluas penggunaan dalam sektor pembinaan bagi lapisan di luar rumah bagi memberi kemasan lebih baik.

"Gentian itu dikatakan juga sebagai solusi murah dan berdaya tahan selain memiliki tekstur serta visual menyerupai ira kayu yang memberi sentuhan menarik kepada sudut estetika rumah kecil itu," katanya.

Kelebihan rumah jenis pasang siap itu juga tidak ubah seperti 'modus operandi' Sistem Bina Berindustri (IBS), tetapi versi kayu dan lebih kecil juga lebih fleksibel.

BOLEH juga dijadikan dua tingkat menerusi bahagian loteng.
BOLEH juga dijadikan dua tingkat menerusi bahagian loteng.

Kata Zinnirah, model rumah kecil ini boleh dipasang atau digerakkan ke lokasi baharu jika pemiliknya merancang berpindah.

"Fokus sasaran model rumah kecil adalah pesara atau 'veteran' kerana praktikaliti menguruskan ruang kecil mengikut keupayaan diri.

"Rasionalnya seiring dengan peningkatan usia, warga emas tidak lagi mampu menyelenggara atau membersihkan rumah yang besar.

"Rumah kecil yang memiliki pelbagai konsep atau kategori jenis ruang ini juga mesra alam kerana menekankan gaya hidup minimalis dengan keperluan ringkas," katanya.

MASIH memuatkan ruang makan.
MASIH memuatkan ruang makan.

Pemilik rumah kecil juga boleh mereka bentuk rumah mengikut bajet dan jenis ruang diperlukan.

Zinnirah turut memaklumkan, hayat model rumah kecil memiliki jangka hayat tidak kurang 50 tahun dan penyelenggaraan minimum seperti mengecat boleh memanjangkan ketahanan rumah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 6:30 AM