HAYAZI sarankan pelanggan membuat pertimbangan bukan sahaja daripada rekaan dan konsep malah kompartmen atau laci  mengikut keperluan.
HAYAZI sarankan pelanggan membuat pertimbangan bukan sahaja daripada rekaan dan konsep malah kompartmen atau laci mengikut keperluan.
Nurul Husna Mahmud


PERANAN kabinet bukan sahaja sebagai perabot, tetapi ia boleh menjadi elemen penting dalam tatarias kediaman apabila ia mampu berfungsi sebagai pemisah ruang atau penyeri kepada dekorasi ruang tertentu.

Gambaran yang biasa diberikan kepada kabinet ialah perabot tipikal berbentuk segi empat atau petak yang diperbuat daripada kayu menjadi tempat penyimpanan dan memudahkan aturan sesuatu barang.

Sedangkan dalam perincian pilihan perabot, kabinet ini tidak ubah seperti aliran peredaran fesyen boleh berubah mengikut trend semasa baik dari segi rekaan atau tema warna sehingga dilihat sebagai teras dalam sesuatu konsep kediaman.

Merujuk kepada situasi itu, Pengasas Mai Kitchen Cabinet, Hayazi Hashim tidak menafikan permintaan terhadap rekaan kabinet mengikut keinginan dan cita rasa masing-masing seperti mana pemilihan dalam aspek pakaian atau makanan.

“Rata-rata pemilik kediaman kami temui sudah sedia ada gambaran mengenai rekaan sesuatu kabinet terutamanya pada ruang dapur. Malah pada satu tahap, mereka ini sudah ada perincian material diinginkan kerana tinjauan dilakukan mereka berdasarkan rekaan di Internet.

“Cuma pada peringkat pelaksanaan atau ‘relevankan’ idea dengan produk akhir itu adalah tugas pasukan saya. Di sini cabarannya iaitu merealisasikan rekaan kabinet idaman dengan bajet yang mereka ada.

CERIA kombinasi warna cerah dan gelap.
CERIA kombinasi warna cerah dan gelap.

“Tidak dinafikan apabila rekaan yang dirujuk adalah rekaan dari luar negara, cabarannya adakah sesuai dengan keperluan selain persekitaran ruang dalam rumah masyarakat negara ini?

“Jadi, kami akan bantu iaitu mendapatkan rekaan kabinet dengan mengambil kira kehendak di samping latar belakang penghuni lain yang mendiaminya.

“Ini kerana ada sesetengah material atau rekaan tidak sesuai dengan keadaan contoh penggunaan material kaca tiga dimensi (3D Glass) atau empat dimensi (4D Glass).

“Ia merujuk kepada bingkai aluminium sementara pintunya dibuat daripada kaca selain dilihat mendapat sambutan hangat masa kini.

“Namun pada keluarga yang memiliki anak kecil dan masih lasak, penggunaan material ini pada kabinet berkenaan tidak praktikal kerana risiko mudah pecah.

“Berbanding melamin walaupun kurang berkilau namun material lebih tegap seperti pilihan material sepenuhnya kayu lebih tahan lasak daripada material kaca,” katanya.

Berkongsi mengenai rekaan dijangka akan menjadi tumpuan pemilik kediaman, Hayazi menjangkakan untuk tahun hadapan, ramai cenderung kepada warna yang cerah dan pemegang jenis 45 darjah.

“Kalau tahun ini atau sebelumnya, ramai gemar pilih warna yang lebih ‘garang’ dan tona yang gelap kerana mahu tampak elegan serta kemas, peralihan pada 2020 mereka sukakan rekaan warna lebih cerah.

“Umpamanya coklat terang, kuning air, putih dan krim. Pilihan warna sedemikian membuatkan gaya tampak lebih moden sesuai dengan konsep kediaman masa kini,” katanya.

Tambah Hayazi, konsep moden biasanya dilihat pada rekaan kabinet ialah sleek dan clean dengan menekankan perincian ringkas dalam menyerlahkan gaya elegan.

WARNA putih pada kabinet membuatkan ruang tampak luas.
WARNA putih pada kabinet membuatkan ruang tampak luas.

“JIka dulu kabinet biasanya akan ada nampak pemegang pada bahagian depan laci atau pintu. Kini pilihan adalah gaya pemegang 45 darjah.

“Merujuk pemegang itu pada salah satu sisi membolehkan ada ruang untuk ditarik keluar dan masuk. Bukan sahaja ia nampak kemas malah faktor lain termasuk aspek keselamatan apabila anak kecil tidak boleh akses kepada ruang berkenaan,” katanya yang turut menyebut formica iaitu komposit plastik tegap antara material bakal menjadi fenomena dalam rekaan kabinet di Malaysia.

Dalam menentukan rekaan, anda dinasihatkan membuat penilaian kepada keperluan baik saiz dan bahagian diperlukan bagi membolehkan rekaan sepadan dengan bajet sesuatu tempahan kabinet.

“Sememangnya kabinet terutama dapur dihasilkan mengikut tempahan, namun pemiliknya perlu tahu apakah penggunaannya nanti selain jenis barang bakal disimpan.

“Biasanya dalam rekaan kabinet kita sarankan lebih banyak bahagian dan laci memadai satu atau dua set sahaja mengikut saiz. Ini bagi mengoptimumkan penggunaan ruang atau perabot itu sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 5:20 PM