APABILA air memenuhi, takungan menolak struktur Pop Up ke permukaan tanah.
APABILA air memenuhi, takungan menolak struktur Pop Up ke permukaan tanah.
Nurul Husna Mahmud


BANJIR antara bencana yang menyebabkan kemusnahan besar terhadap harta benda termasuk kereta dan rumah.

Justeru, ia dilihat satu cabaran buat pereka atau arkitek kerana perlu mencari solusi dalam menangani bencana itu menerusi inovasi rekaan seni bina mahupun landskap.

Satu cadangan berani dikemukakan studio arkitek dari Denmark, Tredje Natur apabila tampil rekaan tempat letak kereta terapung atas takungan pencegah banjir.

Idea projek dinamakan Pop Up itu adalah inspirasi daripada beberapa inisiatif bandar padat dengan penduduk dan bangunan seperti Tokyo menangani banjir besar.

Tokyo menangani bencana banjir menerusi projek mega membabitkan pembinaan struktur 'berongga' di bawah tanah yang besar untuk menampung kapasiti air besar.

Manakala di aras jalan atau atas ruang itu menempatkan kawasan awam termasuk ruang parkir kenderaan.

Sementara itu, Pop Up pula tampil dengan konsep struktur tempa

t letak kereta yang asalnya berada dalam lubang dalam tanah. Ketika hujan lebat, lembangan yang sudah dipenuhi air, menolak tempat letak kereta ke atas paras tanah.

REKAAN Pop Up idea kemudahan parkir, fasiliti awam dan taman rekreasi.
REKAAN Pop Up idea kemudahan parkir, fasiliti awam dan taman rekreasi.

Pereka atau arkitek dari Tredje Natur membayangkan struktur yang mana bahannya tidak dinyatakan dalam bentuk lingkaran yang akan memastikan pemandu boleh keluar di semua peringkat, tidak kira ketinggian tempat letak kereta.

Selain berfungsi sebagai penebat bunyi dari persekitaran taman awam yang berada atas bumbung struktur berkenaan.

Dalam keadaan biasa, taman awam boleh diakses di aras tanah dengan tempat letak kereta di bawah tanah.

Pengasas bersama studio arkitek itu, Flemming Rafn mengatakan Pop Up adalah inovasi yang sesebuah bandar perlukan dalam mengadaptasi dengan cuaca ekstrem yang semakin teruk.

"Inovasi atau rekaan seperti Pop Up solusi lebih murah daripada membina infrastruktur banjir dan tempat letak kereta secara berasingan.

"Krisis dalam bandar ketika ini ialah konflik persendirian dan awam yang mana penduduk atau pemilik rumah mahukan tapak parkir.

"Bagi kejiranan atau pihak berkuasa tempatan pula berpandangan ruang aras tanah dibina taman awam berbanding parkir kegunaan individu.

"Rekaan Pop Up menggabungkan kedua-dua elemen dan ia juga satu bentuk penjimatan termasuk peruntukan pembinaan infrastruktur untuk masyarakat," katanya.

Tambah Rafn berbanding penyelesaian banjir yang kompleks, pihaknya memfokuskan rekaan menangani banjir menerusi idea mengalirkan air hujan dan menakung di takungan yang besar.

TAMAN lama yang ditambah baik sistem supaya dapat menampung kepadatan air tinggi.
TAMAN lama yang ditambah baik sistem supaya dapat menampung kepadatan air tinggi.

"Perancangan bandar yang lebih berdaya tahan bagi Conpehengen (ibu negara Denmark) bermula sejak 2011 dan diperkukuhkan semua pihak memainkan peranan masing-masing berdasarkan panduan Perancangan Pengurusan Cloudburst 2012.

"Solusi kami terbabit secara tidak langsung dalam mereka beberapa infrastruktur dalam bandar tampil dengan mekanisme rekaan yang dapat menangani air hujan secepat mungkin selepas ia turun. Air hujan itu dibiarkan mengalir ke kawasan yang direka untuk banjir," katanya.

Selain Pop Up, studio itu pernah menyelesaikan kerja pengubahsuaian taman bandar Enghaveparken yang berusia ratusan tahun di Vesterbro, Denmark pada 2019.

Taman itu mempunyai mekanisme yang mampu menampung 23,000 meter padu air.

Satu lagi projek Tredje Natur menangani bencana banjir ialah Climate Tile. Sistem penurapan telap yang membolehkan air ditapis dalam saluran saliran bawah permukaan sebelum dialirkan ke kawasan penanaman bandar atau ditakung untuk mencuci jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 6:12 AM