PEMANDANGAN sekitar vila cangkerang.
PEMANDANGAN sekitar vila cangkerang.
Susunan Nurul Husna Mahmud


Arkitek Jepun, Kotaro Ide dari firma ARTechnic tampil dengan idea unik menerusi pembinaan rumah percutian berbentuk cangkerang di hutan Karuizawa di wilayah Nagano, Jepun yang siap dibina pada 2008.

Berbanding vila percutian lain di sekitar kawasan hutan terbabit yang kebanyakannya memilih seni bina kayu tipikal, Kotaro dilihat lebih gemar menampilkan elemen lain iaitu gua dan batu.

Sekali gus menjadi asas kepada pembentukan vila cangkerang itu.

Komposisi Bangunan

Perancangan awal ialah pembinaan tapak vila itu dilakukan di sekitar pokok cemara besar dan mengambil kira pemandangan utamanya ialah deretan pokok pain.

Reka bentuk bangunan itu turut membabitkan pembinaan dua struktur silinder berbentuk C di sekitar pokok cemara berkenaan.

Kemudian ia menyerupai huruf J apabila dua silinder itu bergabung.

Dinding pada bahagian atas bangunan berbentuk bujur itu pula mempunyai ketebalan 35 sentimeter (sm).

Sementara ketebalan dinding ditingkatkan hingga 75sm pada bahagian kedua-dua sisi bagi menyokong struktur berkenaan.

Lantainya dibina 140sm di atas tanah dengan separuh bahagian bawah struktur rumah itu menonjol ke arah luar menyokong teras ketinggian yang sama.

Semua saluran dan kabut udara dipasang di bawah struktur membolehkan udara keluar menerusi ruang teres khas.

Rekaan penggunaan tingkap yang tidak kekal nyata membantu memaksimumkan pengudaraan semula jadi.

Biarpun terdapat kelemahan penggunaan ruang silinder berbentuk bujur yang dilihat sebagai pembaziran ruang, pemasangan perabot pada separuh bawah silinder bujur mengatasi masalah berkenaan.

Sistem pemanasan khas

Sistem pemanasan lantai khas bertujuan meminimumkan kehilangan haba dari dalam rumah selain membantu ruang kelihatan lebih luas.

Malah sistem pemanasan buatan ini berfungsi sebagai sistem penghalang dingin yang membolehkan penghuni menikmati ruang selesa meskipun pada bukaan ruang besar.

Menariknya villa ini turut dilengkapi kemudahan menerusi sistem kawalan pusat membolehkan semua peralatan mekanikal dan elektrik diuruskan tiga butang kawalan.

Vila berkenaan turut mempunyai kelebihan menerusi penggunaan teknologi pintar apabila adanya sistem pengunci dan keselamatan biometrik.

Ia bagi mengurangkan kebimbangan dan tekanan terhadap pengurusan keselamatan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 4:51 AM