KHAIRIL Anuar (dua dari kanan) bersama pemenang Kempen Hello CBP 2024 Bagi Suku Pertama.
KHAIRIL Anuar (dua dari kanan) bersama pemenang Kempen Hello CBP 2024 Bagi Suku Pertama.

Kuala Lumpur: Co-opbank Pertama (CBP) mencatatkan keuntungan sebanyak RM30 juta pada tiga bulan pertama tahun ini.

Malah, ia turut menunjukkan prestasi memberangsangkan pada suku tahun pertama 2024 dengan jumlah aset terkumpul mencecah hampir RM11.5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, CBP turut berjaya merekodkan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) di bawah paras industri iaitu 1.6 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

"Kami berharap kadar ini akan terus berkekalan hingga akhir tahun," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, antara faktor yang memastikan kejayaan ini ialah disebabkan penggunaan perbankan digital iaitu aplikasi HeloCBP yang dilancarkan baru-baru ini yang mendorong kepada kecekapan perkhidmatan CBP.

"Kaedah HeloCBP ini ternyata amat memudahkan pelanggan melakukan urus niaga perbankan dalam talian tanpa perlu ke kaunter," katanya.

Sehubungan itu, katanya, CBP juga merancang untuk melancarkan produk baharu seperti Ar Rahnu Flexi, perniagaan kiriman wang dan perkhidmatan sewa beli, di samping pembiayaan peribadi kepada segmen-segmen baharu seperti kakitangan swasta.

Dalam pada itu, CBP turut menyempurnakan Penyampaian Hadiah Kempen Hello CBP 2024 Bagi Suku Pertama kepada 10 orang pemenang.

Hadiah utama iaitu sebuah kereta Proton S70, telah dimenangi Abdul Hamid Osman manakala dua motosikal Suzuki Gixxer 250 telah disampaikan kepada Abu Bakar Yahaya dan Adi Norazwan Misuan.

Selain itu, CBP turut menyampaikan hadiah-hadiah lain seperti pakej umrah dan pelbagai hadiah barangan elektrik lain yang bernilai keseluruhannya kira-kira RM300,000.

Cabutan hadiah Kempen Hello CBP 2024 ini diadakan pada setiap suku iaitu pada Mac, Jun, September dan Disember.

Objektif kempen ini ialah untuk memberi penghargaan kepada pelanggan sedia ada atau baharu yang setia melanggan produk runcit CBP seperti deposit, pembiayaan peribadi Al-Yasser, pembiayaan perumahan Al-Amali, pembiayaan ar rahnu dan Takaful Smartcare.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 7:58 AM