KHAIRIL Anuar (tengah) bersama penerima ketika majlis penyerahan Yamaha Ego Solaris kepada lima pelanggan CBP di Coopbank Pertama. Gambar NSTP/ AZIAH AZMEE
KHAIRIL Anuar (tengah) bersama penerima ketika majlis penyerahan Yamaha Ego Solaris kepada lima pelanggan CBP di Coopbank Pertama. Gambar NSTP/ AZIAH AZMEE

Kuala Lumpur: Co-opbank Pertama (CBP) optimis dalam mencapai sasaran keuntungan pada tahun ini, berdasarkan prestasi yang ditunjukkan Ar-Rahnu dan pembiayaan pinjaman peribadi untuk dua bulan pertama 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP Khairil Anuar Mohd Anuar berkata, bagi segmen Ar-Rahnu, pihaknya menyasarkan sehingga RM350 juta untuk tahun ini.

"Kami menyasarkan RM30 juta pada Januari dan mendapat lebih RM35 juta. Bagi Februari tahun ini, kami menyasarkan jumlah yang sama dan mencapai 46 peratus melebihi sasaran.

"Bagi pinjaman peribadi, kami meletakkan sasaran sehingga RM1.3 bilion dan melihat kepada prestasi dua bulan pertama ini, kami di landasan yang tepat.

"CBP juga dalam proses akhir mengaudit akaun tahunan, Insya-Allah sasaran pada 2021 mencatatkan peningkatan lebih pada 2020," katanya selepas penyampaian hadiah lima motosikal Yamaha Ego Solaris bersempena Kempen 12.12 yang dianjurkan pada Disember lalu.

Dalam pada itu, Khairil Anuar berkata, ahli CBP meningkat sehingga 95,000 ahli dan 750 ahli koperasi yang berdaftar bersama mereka.

Jelasnya, CBP kini merancang untuk mempelbagaikan lagi produk pembiayaan patuh Syariah seperti pembiayaan sewa beli, pembiayaan mikro dan pelbagai lagi bagi meluaskan pasaran mereka.

"Kami turut merancang untuk lebih mendekati dengan ahli kami, menyediakan dividen yang bagus dan pelbagai lagi manfaat.

"Antara yang kami sediakan adalah seperti pembiayaan pelajaran dan juga bantuan musibah seperti yang kami jalankan kepada mangsa banjir pada tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 7:01 AM