CHRIS Yong semasa sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara FinDoc Sdn Bhd dan CTOS Data Systems Sdn Bhd di Geno Hotel. FOTO Eizairi Shamsudin
CHRIS Yong semasa sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara FinDoc Sdn Bhd dan CTOS Data Systems Sdn Bhd di Geno Hotel. FOTO Eizairi Shamsudin
Sri Ayu Kartika Amri


Shah Alam: Syarikat fintech inovatif, FinDoc Sdn Bhd (FinDoc) menjalin kerjasama strategik dengan agensi pelaporan kredit, Ctos Data Systems Sdn Bhd (Ctos) bagi memajukan kewangan inklusif di negara ini, menerusi penyelesaian pengesahan identiti (e-KYC) ke dalam platform pemeriksaan kelayakan pinjaman dan perundingan mereka.

FinDoc, yang kini bekerjasama dengan 20 bank dalam negara dalam menawarkan perkhidmatan penapisan kelayakan kredit turut dianugerahkan pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai platform fintech menerusi penapisan pembiayaan bank terbanyak.

Ketua Pegawai Eksekutif FinDoc, Chris Yong berkata, melalui kerjasama dengan Ctos, pihaknya menyasarkan untuk bekerjasama dengan lebih banyak bank lagi bagi memudahkan proses permohonan pinjaman dan menghubungkan pelanggan yang sesuai dengan bank.

Katanya, ini dapat mengurangkan pembaziran sumber dan meningkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan.

"Kami komited menyediakan platform yang memberi nasihat kewangan dengan cepat dan selamat.

"Dalam penggunaan Ctos-eKYC, pengguna yang mendaftar dengan FinDoc perlu menggunakan tiga pengikatan identiti, termasuk kad pengenalan, nombor telefon dan alamat e-mel.

"Fungsi ini akan meningkatkan keselamatan dan privasi pengguna dalam pengurusan data, membawa kepada pengurusan data yang boleh dipercayai dan selamat," katanya di majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara FinDoc dan Ctos di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Ctos, Danny Fong berkata, pihaknya percaya bahawa dengan mengadaptasi penyelesaian digital terkini untuk pengesahan identiti (e-KYC), lebih banyak rakyat Malaysia dapat menjalani proses penapisan kredit dan mendapatkan nasihat kewangan secara dalam talian dengan cepat dan selamat.

"Kami memahami pentingnya privasi data, justeru kami memperkenalkan pengesahan identiti untuk memastikan setiap permintaan kelayakan kredit adalah sah dengan FinDoc mengenal pasti cabaran kewangan yang biasa dihadapi oleh pengguna, untuk menghasilkan program pendidikan pengetahuan kewangan, membolehkan pengguna menguruskan kredit dan kewangan mereka dengan lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 10:16 AM