ZAMBRY (kanan) pada Pengumuman Dividen Simpanan SSPN 2023. FOTO Saifullizan Tamadi
ZAMBRY (kanan) pada Pengumuman Dividen Simpanan SSPN 2023. FOTO Saifullizan Tamadi
Samadi Ahmad


Putrajaya: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2023 sebanyak 3.60 peratus membabitkan anggaran peruntukan RM357.65 juta.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ia akan memberi manfaat kepada 6.52 juta pendeposit akaun Simpan SSPN.

Katanya, pemberian dividen lebih tinggi ini sekaligus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus cemerlang,berintigriti dan strategik bagi memastikan pulangan optimum kepada pelanggan.

"Pemberian dividen tinggi ini disokong oleh pulangan pelaburan yang positif dengan keuntungan pelaburan deposit bagi 2023 berjumlah RM446.22 juta," katanya pada sidang media Pengumuman Dividen SSPN 2023 di kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Zaini Ujang dan Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahman.

Pembayaran dividen akan dimasukan terus ke akaun Simpanan PTPTN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata masing-masing melalui aplikasi myPTPTN bermula esok.

Pada tahun ini deposit Simpanan SSPN adalah RM3.15 bilion manakala RM513, 002 akaun baharu turut direkodkan.

Zambry berkata, peningkatan kadar dividen ini bersesuaian dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate) Bank Negara yang meningkat 0.25 peratus pada 2023.

Katanya,bagi jumlah keseluruhan deposit terkumpul Simpanan SSPN sejak 2004 sehingga 31 Disember 2023 adalah berjumlah RM17. 39 bilion melibatkan 6.25 juta akaun.

"Prestasi memberangsangkan ini menunjukkan keyakinan dan sokongan para pendeposit kekal utuh berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 3:03 PM