AHMAD Shahril (kanan) bersama Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani menyampaikan sumbangan kepada penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras pada majlis pelancaran Bank Rakyat Semarakkan Ramadan Raya Tulus Ikhlas.
AHMAD Shahril (kanan) bersama Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani menyampaikan sumbangan kepada penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras pada majlis pelancaran Bank Rakyat Semarakkan Ramadan Raya Tulus Ikhlas.
Redzuan Muharam dan Nor Syazrina Muhamad Tahir

Kuala Lumpur: Bank Rakyat memperuntukkan lebih RM2.3 juta untuk Kempen Ramadan Raya Tulus Ikhlas yang dianjurkan khusus bagi berkongsi rezeki dengan pelanggan dan masyarakat yang kurang bernasib baik.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, konsep Tulus Ikhlas dibawakan dalam kempen berkenaan bagi menyemarakkan semangat rakyat negara ini menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal tiba dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM750,000.

Menurutnya, Bank Rakyat juga mengagihkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM1.48 juta menerusi Program Imarah Ramadan apabila 7,400 penerima Asnaf akan menerima bakul makanan berjumlah RM100 dan duit raya RM100.

"Setiap tahun, prestasi Bank Rakyat bertambah baik jadi lebih banyak diterima, lagi banyak yang ingin dikongsi dengan masyarakat.

"Diharap kempen ini dapat memberi manfaat kepada penerima terutama pelanggan dan masyarakat yang memerlukan.

"Inisiatif dilaksanakan merangkumi kempen langgan dan menang, belanja dan menang, guna dan menang juga kongsi dan menang dengan peruntukan tertinggi setakat ini," katanya selepas pelancaran program Bank Rakyat Semarakkan Ramadan Raya Tulus Ikhlas di sini, semalam.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan pakaian raya kepada 73 anak yatim daripada Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Selangor dan Rumah Bakti Nur Syaheera sebagai tanda ihsan Bank Rakyat terhadap golongan berkenaan.

Ahmad Shahril berkata, pelanggan berpeluang menikmati pelbagai ganjaran dan tawaran istimewa menerusi kempen utama Tulus Ikhlas yang berlangsung mulai 12 Mac hingga 31 Mei depan.

Katanya, hadiah ditawarkan adalah Proton X90, Proton X70, Proton X50, lima motosikal Modenas dan 120 hadiah sagu hati.

"Kempen utama Tulus Ikhlas membabitkan produk pembiayaan dan takaful, Kad Kredit-i atau Kad Debit-i Bank Rakyat dan Akan Simpanan-i atau Akaun Semasa-i Tawarruq.

"Dalam menggalakkan usahawan kecil meluaskan lagi perniagaan mereka, Bank Rakyat juga akan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 kepada 15 pemenang bertuah yang melanggan produk Pembiayaan Mikro-i bermula 12 Mac sehingga 31 Mei depan.

"Pelanggan yang melanggan produk Pembiayaan Kenderaan-i pula berpeluang memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM80,000 kepada 200 pemenang bermula 1 Mac sehingga 31 Mei," katanya.

Ahmad Shahril berkata, cabutan istimewa Akaun Pelaburan-i Rizq Plus sempena Aidilfitri turut diadakan dengan hadiah wang tunai bernilai RM100,000 untuk seorang pemenang dan emas seberat 20 gram untuk lima pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 7:10 AM