FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia kekal pada trajektori ekonomi yang kukuh dengan semua negeri mencatatkan kadar pertumbuhan positif pada 2022 berbanding 2021, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Dalam laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengikut negeri bagi tahun 2022 yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu berkata ia merekodkan pertumbuhan positif walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi global, konflik geopolitik dan gangguan dalam rantaian bekalan makanan.

Ia juga berkata pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia pada 1 April, 2022, telah mempercepatkan pemulihan dalam semua sektor ekonomi, khususnya industri berkaitan pelancongan.

"Prestasi ini memuncak dengan pertumbuhan KDNK 8.7 peratus pada 2022, dengan nilai tambah berjumlah RM1.5 trilion, mengatasi nilai prapandemik pada 2019 sebanyak RM1.4 trilion.

"Sektor perkhidmatan yang menguasai ekonomi negara, mengukuh sebanyak 10.9 peratus berbanding tahun 2021, diikuti oleh sektor pembuatan, yang meningkat sebanyak 8.1 peratus," kata DoSM.

Dalam tempoh yang sama, sektor pertanian pulih sebanyak 0.1 peratus, sektor perlombongan dan kuari meningkat 2.6 peratus dan sektor pembinaan melantun kepada 5.0 peratus.

Empat negeri yang mengatasi kadar pertumbuhan nasional pada 2022 ialah Pulau Pinang (13.1 peratus), Selangor (11.9 peratus), Pahang (10.8 peratus) dan Kuala Lumpur (9.2 peratus).

Prestasi ekonomi Pulau Pinang yang memberangsangkan dipacu oleh sektor pembuatan yang merupakan pemacu utama ekonomi negeri itu berkembang kukuh kepada 15.9 peratus (2021: 12.4 peratus).

Pengembangan ini disokong oleh produk elektrik, elektronik dan optikal ekoran daripada peningkatan permintaan semikonduktor di peringkat global.

Manakala bagi Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur, pemacu ekonomi negeri-negeri itu adalah sektor perkhidmatan yang tumbuh pesat didorong oleh industri berkaitan pelancongan iaitu subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.

Selangor juga terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi negara apabila sektor pembuatannya turut mengukuh 9.0 peratus disokong produk elektrik, elektronik dan optikal (13.6 peratus) serta peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (16.6 peratus).

Jabatan Perangkaan juga melaporkan KDNK Melaka meningkat sebanyak 8.6 peratus, disokong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Sementara itu, pembukaan semula semua aktiviti ekonomi dan industri berkaitan pelancongan yang berkembang pesat memangkin pemulihan di Johor, yang meningkat sebanyak 8.2 peratus, diikuti oleh Kedah (7.2 peratus), Negeri Sembilan (6.4 peratus), dan Perak (4.3 peratus).

Dalam tempoh yang sama, ekonomi Sabah meningkat sebanyak 3.7 peratus, disokong oleh sektor perkhidmatan yang berkembang sebanyak 8.6 peratus, didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, yang pulih sebanyak 10.4 peratus (2021: -0.4 peratus).

Pengukuhan ekonomi Sarawak kepada 6.5 peratus dipengaruhi oleh pertumbuhan 9.6 peratus dalam sektor perkhidmatan.

Mengenai prospek, DoSM berkata kesihatan ekonomi negara diunjurkan mengalami pertumbuhan sederhana, memandangkan ketidaktentuan yang berlaku dalam landskap ekonomi global.

"Indeks pelopor bagi April 2023 turut menggambarkan prestasi ekonomi akan tumbuh perlahan pada beberapa bulan ke hadapan disebabkan oleh penurunan dalam semua komponen indeks tersebut.

"Ini dapat dilihat melalui KDNK suku pertama 2023 yang menunjukkan pertumbuhan perlahan 5.6 peratus berbanding 7.1 peratus pada suku tahun sebelumnya," katanya.

Walaupun berdepan iklim ekonomi yang tidak menentu, pasaran buruh sebaliknya terus mengukuh. Kadar penyertaan tenaga buruh pada suku pertama 2023 meningkat kepada 69.8 peratus, berbanding 69.5 peratus pada suku keempat 2022.

Begitu juga dengan kadar pengangguran yang menyusut kepada 3.5 peratus pada suku pertama 2023 berbanding 3.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 2:54 PM