(Dari kiri) CEO CTOS Data Systems, Eric Chin; CEO CTOS Digital, Erick Hamburger; CEO Alliance Bank, Kellee Kam dan Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Alliance Bank, Gan Pai Li.
(Dari kiri) CEO CTOS Data Systems, Eric Chin; CEO CTOS Digital, Erick Hamburger; CEO Alliance Bank, Kellee Kam dan Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Alliance Bank, Gan Pai Li.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Alliance Bank Bhd menyasarkan untuk mengembangkan pinjaman pengguna runcitnya sebanyak 1.5 kali kepada RM36 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Kellee Kam berkata ini akan dicapai dengan mengubah keupayaan sistem pinjaman runcitnya (RLOS) berikutan projek transformasi kredit yang dibuat secara kerjasama dengan CTOS Digital Bhd.

Projek itu akan membolehkan bank berkenaan meningkatkan prestasi kelulusan pinjaman dan menilai segmen "tidak mempunyai akaun bank" dan "ada akaun tetapi tidak menggunakannya" yang terdiri daripada pengguna yang memiliki sejarah kredit tradisional yang sangat terhad sehingga mereka tidak mempunyai skor kredit serta akses mudah kepada kredit.

"Kami melakukan simulasi mengenai kenaikan kadar kelulusan, kepantasan ke pasaran termasuk seberapa cepat pelanggan boleh kembali semula dan kami menyasarkan pasaran mereka yang tidak mempunyai bank dan yang tidak aktif dalam perbankan walaupun mempunyai akaun simpanan," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak itu di sini semalam.

"Kami mempunyai kira-kira RM24 bilion hari ini daripada segi kredit runcit. Kami mahu menambahnya sehingga kira-kira RM36 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

CEO Kumpulan CTOS Digital Erick Hamburger berkata kontrak lima tahun bernilai RM14 juta itu, yang ditandatangani antara Alliance Bank dan CTOS Data Systems Sdn Bhd, melibatkan inovasi digital serta automasi bagi meningkatkan proses sedia ada dan mengubah proses keputusan kredit sebagai sebahagian daripada pelaksanaannya.

Ini akan membolehkan Alliance Bank menyediakan perkhidmatan dengan cepat, mudah dan boleh diperibadikan yang relevan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berubah-ubah, katanya.

Analisis data yang meluas serta penyelesaian canggih membolehkan kumpulan memberikan nilai tambah kepada pelanggan dengan mempercepatkan pertumbuhan dan meningkatkan serta mengembangkan keupayaan membuat keputusan, katanya.

RLOS baharu ini juga akan menampilkan keupayaan transformasi kredit yang akan berfungsi sebagai alat untuk meningkatkan produktiviti dan tempoh penyelesaian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 12:02 PM