MENURUT kaji selidik, rakyat Malaysia memilih inisiatif yang akan menambah wang dalam saku mereka dalam tahun akan datang.
MENURUT kaji selidik, rakyat Malaysia memilih inisiatif yang akan menambah wang dalam saku mereka dalam tahun akan datang.

Kuala Lumpur: Memiliki wang dalam tangan menjadi perkara paling diutamakan ketika ketidaktentuan ekonomi akibat krisis Covid-19 terus menghimpit aspek aliran kewangan rakyat Malaysia.

Berdasarkan keperluan utama kepada wang tunai, inisiatif dalam Belanjawan 2021 yang berkait dengan kewangan menjadi pilihan utama rakyat negara ini.

Menurut kaji selidik oleh agensi pelaporan kredit, CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS), rakyat Malaysia lebih memilih inisiatif yang akan menambah wang dalam saku mereka dalam tahun akan datang.

Kaji selidik itu dilaksanakan untuk mengukur kesan pandemik ke atas keadaan kewangan rakyat Malaysia dan cara mereka mencari jalan untuk menangani cabaran ekonomi terhadap seisi keluarga mereka.

Dalam tinjauan ke atas lebih 3,000 pengguna, responden mengatakan perkembangan terpenting dalam Belanjawan 2021 adalah berkaitan pengeluaran wang simpanan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS, Dennis Martin berkata, hampir 40 peratus responden menyenaraikan skim i-Sinar sebagai ciri yang paling relevan, diikuti rapat oleh pengurangan cukai pendapatan dan bantuan bayaran balik pinjaman tambahan sebagai inisiatif yang ingin lihat menjadi kenyataan.

"Sebaliknya, insentif lain yang dicadangkan untuk orang ramai tidak dipandang sama penting dengan adanya peningkatan kemudahan perubatan, elaun cari kerja dan subsidi pengangkutan awam yang berada di senarai terbawah.

"Apabila keadaan menjadi semakin sukar dan orang ramai sangsi dengan masa depan, maka wang dalam tangan dianggap penting bagi pengguna biarpun mereka tidak memerlukannya serta-merta.

"Dengan memiliki wang lebih ketika berhadapan keadaan tak menentu adalah sesuatu yang begitu berharga," katanya dalam kenyataan, semalam.

Kaji selidik yang dilaksanakan CTOS mendapati 12 peratus responden telah hilang kerja, manakala 22 peratus lagi mengalami potongan gaji.

Selain itu, kira-kira 69 peratus responden menyatakan kesukaran menjelaskan ansuran pinjaman mereka setiap bulan manakala 30 peratus tidak mampu menyimpan sedikit pun pendapatan bulanan mereka ketika ini.

Martin berkata, apa yang menarik membabitkan kaji selidik itu ialah biarpun sebahagian besar responden masih mempunyai pekerjaan dengan gaji penuh, kerisauan hilang kerja jatuh nombor dua selepas kebimbangan tiada wang untuk membeli keperluan asas.

"Dalam zaman pra-Covid-19, faktor seperti bil perubatan atau kos pendidikan lazimnya lebih dipandang penting bagi orang ramai. Tetapi, kebimbangan atas jaminan kerja telah meminggirkan isu penting yang lain dalam menghadapi tahun baharu.

"Moratorium pinjaman baru-baru ini memberikan kelegaan kepada pengguna pada masa paling sukar tahun 2020.

"Hal ini menunjukkan responden amat risau akan kedudukan kewangan mereka dan apa-apa faktor yang berpotensi mengancam keadaan kewangan mereka amat membimbangkan pengguna menjelang tahun 2021," katanya.

Kaji selidik itu juga mendapati biarpun 86 peratus responden bersetuju laporan kredit mereka penting dalam pengurusan hal ehwal kewangan dan hutang, namun hanya 51 peratus responden tahu akan skor kredit mereka, cuma lebih sedikit 30 peratus pula memeriksa skor kredit mereka setiap suku tahun atau kurang dari itu.

"Dalam mengharungi gelombang cabaran kewangan ini dalam tahun 2021 kesan pandemik, pihak CTOS akan terus melaksanakan program bantuan pengguna menerusi saluran digital di samping bekerjasama dengan badan kawal selia, agensi kerajaan, bank dan lain-lain lagi untuk menyantuni rakyat Malaysia.

"Tujuannya memperkasa masyarakat dengan ilmu pengetahuan untuk membantu mereka membuat keputusan pengurusan kewangan yang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 7:01 AM