EWON. FOTO Arkib BERNAMA
EWON. FOTO Arkib BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif pembiayaan tanpa cagaran bagi membantu usahawan wanita dan belia untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, pada 2022, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion di bawah Program Pembiayaan Tekun Nasional, membabitkan 73,073 usahawan termasuk golongan wanita dan belia.

"Mulai tahun ini, Tekun Nasional memperkenalkan program pembiayaan khas tanpa cagaran untuk usahawan yang menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui pelaksanaan Skim Pembiayaan Online Tekun (Spot).

"Pembiayaan khas ini terbuka kepada semua peringkat umur dan jantina termasuk usahawan wanita dan anak muda sehingga 10 Februari. Sebanyak 118 usahawan wanita dan belia sudah menerima pembiayaan Spot membabitkan peruntukan RM884,000," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai skim bantuan khas pemula tanpa cagaran bagi membantu wanita dan generasi muda menceburi dan memulakan perniagaan.

Ewon berkata, SME Corp turut menyediakan bantuan dalam pembangunan kapasiti berbentuk latihan, geran permulaan tanpa cagaran dan khidmat nasihat kepada belia bumiputera berumur 18 hingga 30 tahun dan sebanyak RM1 juta disediakan di bawah perancangan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) pada 2023.

"Bagi 2021 dan 2022, SME Corp melaksanakan Program Tube 8.0 dan Tube Pemerkasa kepada belia bumiputera termasuk wanita yang ingin menceburi bidang perniagaan dengan peruntukan RM12.74 juta. Seramai 915 belia menyertai program itu dan 436 daripadanya golongan wanita," katanya.

Katanya, agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia turut menyediakan pembiayaan tanpa cagaran seperti Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) I-Mesra dan Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) I-Muda untuk bakal usahawan wanita dan generasi muda kumpulan B40 dan berpendapatan rendah untuk memulakan perniagaan, manakala Bank Rakyat menawarkan BizLady, program membantu usahawan wanita tanpa membabitkan cagaran.

"Pada 2022, sebanyak 80,866 usahawan menerima pembiayaan skim I-Mesra dengan peruntukan RM722.70 juta, 97,229 usahawan menerima pembiayaan skim I-Muda membabitkan peruntukan RM667.71 juta manakala di bawah Bank Rakyat, sebanyak 1,452 usahawan wanita menerima pembiayaan BizLady dengan peruntukan RM63.21 juta pada tahun lepas," katanya.

Bank Rakyat turut bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara untuk menyediakan program pembiayaan kepada graduan melalui Program Pementoran Siswazah merangkumi proses latihan dan bimbingan antara tiga hingga enam bulan serta pakej pembiayaan RM100,000 bagi peserta program yang menamatkan latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 7:57 AM