GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai kadar dasar semalaman (OPR) tidak akan semata-mata seiring dengan bank pusat lain sebaliknya lebih tertumpu kepada persekitaran ekonomi domestik.

Bercakap pada sidang media semalam, beliau berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan terus menentu ukur dasar monetari untuk memastikan pertumbuhan domestik yang mampan dan kestabilan harga, yang selaras dengan mandat BNM.

"Saya ingin menegaskan...kami tidak menetapkan OPR berdasarkan keputusan bank pusat lain mengenai dasar monetari mereka," katanya selepas mengumumkan keputusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi suku keempat 2022 di sini, semalam.

MPC mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada mesyuarat pertamanya Januari 2023 selepas menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas empat kali tahun lalu.

Kenaikan terakhir untuk meningkatkan OPR kepada 2.75 peratus pada November 2022.

Nor Shamsiah berkata, keputusan itu akan membolehkan BNM mendapat kejelasan yang lebih baik dan mengambil kira kesan peningkatan terkumpul dalam OPR pada 2022 serta mengambil kira persekitaran ekonomi dan kesannya terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi.

Beliau berkata, inflasi semasa Malaysia adalah hasil gabungan kedua-dua faktor bekalan dan permintaan.

"Walaupun kita tahu OPR mempunyai pengaruh terhad dalam menangani tekanan harga, ia adalah alat penting untuk mengurus tekanan permintaan. Kita melihat tekanan permintaan ini sejak ekonomi dibuka semula yang menyumbang kepada kegigihan dan keluasan pasaran domestik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 7:00 AM