MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.
MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Kadar berkenaan dikekalkan selepas kenaikan pertama diumumkan pada mesyuarat Mei tahun ini, selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan pada kadar 2.75 peratus pada Januari dan Mac tahun ini.

MPC sebelum ini mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut dicatatkan sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November 2022.

Paras terendah OPR adalah 1.75 peratus pada tahun lalu.

Pada mesyuarat semalam BNM berkata, ekonomi global terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.

"Bagaimanapun, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi.

"Perdagangan global juga terjejas disebabkan oleh peralihan perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan serta permintaan yang terus berkurang dalam sektor elektrik dan elektronik," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, pertumbuhan di China yang lebih perlahan daripada jangkaan turut menjejaskan ekonomi global.

"Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun. Meskipun inflasi teras semakin perlahan di ekonomi maju, inflasi masih melebihi purata jangka panjang.

"Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat.

Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh momentum ekonomi negara maju yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak," katanya.

Menurut BNM, pada suku kedua tahun 2023, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah terkesan akibat permintaan luaran yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang menurun.

"Pada masa hadapan, pertumbuhan akan terus didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dalam keadaan persekitaran luaran yang mencabar.

"Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri, terus menyokong perbelanjaan isi rumah," katanya.

BNM berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek pertumbuhan dan inflasi.

"MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

"MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 8:58 AM