Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail (kiri) bersama pemenang Cabutan Rezeki Utama, Aiman Syafiq Zakaria.
Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail (kiri) bersama pemenang Cabutan Rezeki Utama, Aiman Syafiq Zakaria.

Kuala Lumpur: Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) menyampaikan hadiah kepada pemenang Cabutan Rezeki Utama bagi kempen "Revive, Restore, Retain" dan "Stay Protected" yang menyaksikan pelanggan bertuah, Aiman Syafiq Zakaria dari Johor Bahru membawa pulang hadiah utama berupa Proton Persona 1.6L Premium CVT yang bernilai RM60,000.

Kempen yang bermula pada 1 Julai dan berakhir pada 30 November 2022 itu turut menyaksikan pemegang sijil PruBSN memenangi hadiah menarik lain seperti telefon pintar iPhone 14 Pro berharga RM4,139 seunit (lima pemenang), pakej pelancongan ke Pulau Langkawi beserta tiket penerbangan untuk dua orang bernilai RM3,550 (lima pemenang) dan

televisyen pintar 50 inci bernilai RM2,150 seunit (enam pemenang) untuk peringkat 1 kempen berkenaan.

Sementara itu, lima pemenang bagi peringkat 2 membawa pulang iPhone 13 bernilai RM3,569, iPad berharga RM3,250 (enam pemenang) serta 60 pemenang membawa pulang kad Touch 'n Go (TNG) bernilai RM100 dan RM50.

Seramai 10 ejen turut terpilih memenangi iPad bernilai RM3,250 setiap seorang melalui Cabutan Rezeki bagi kategori ejen.

Keseluruhan hadiah bagi kedua-dua kempen berkenaan bernilai hampir RM300,000.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, kempen berkenaan dianjurkan bagi menghargai kesetiaan pelanggan selain memastikan perlindungan takaful berterusan seiring dengan misi PruBSN untuk membantu rakyat Malaysia memanfaatkan yang terbaik dalam kehidupan.

"Dalam kita mengharungi pelbagai cabaran daripada segi ekonomi, kesihatan, sosial dan persekitaran yang dinamik, situasi yang tidak terduga dan di luar kawalan boleh menimpa sesiapa sahaja.

"Keadaan ini sememangnya membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila kita tidak mempunyai jaringan keselamatan

kewangan yang menjamin masa hadapan kita dan keluarga tersayang."

"Kerana itulah kami menganjurkan kempen Revive, Restore, Retain dan Stay Protected pada tahun lalu untuk menggalakkan pelanggan kami memiliki perlindungan berterusan sebagai jaringan keselamatan kewangan sekiranya anda ditimpa sebarang musibah," katanya dalam kenyataan.

Kesemua pemenang dipilih berdasarkan cabutan secara rawak dari senarai pemegang sijil dengan pengaktifan semula sijil atau mendaftar untuk pembayaran automatik melalui debit terus atau kad debit/kredit sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Dalam majlis yang sama, Wan Saifulrizal turut mengumumkan kempen terbaru PruBSN agar semua rakyat Malaysia dilindungi pada setiap masa serta menghargai pelanggan dengan menawarkan ganjaran pakej umrah dan haji.

"Pada setiap bulan bermula Januari sehingga Disember 2023, cabutan rezeki akan berlangsung untuk memilih seorang pemenang yang bakal memenangi pakej umrah untuk dua orang.

"Seorang pelanggan bertuah pula bakal memenangi hadiah utama berupa pakej menunaikan fardu haji untuk dua orang.

"Untuk melayakkan diri bagi cabutan rezeki, pelanggan hanya perlu mendaftar untuk pembayaran sijil secara automatik atau "auto deduction" sepanjang tahun ini," katanya.

Pada September tahun lalu, PruBSN turut menyampaikan hadiah berupa iPhone 13 kepada 10 pemenang bertuah Cabutan Rezeki Early Bird pada bulan Julai 2022 dan 10 lagi pemenang Cabutan Rezeki Early Bird pada Ogos 2022 bagi kempen sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 4:51 PM