SYED Mashafuddin (dua dari kiri) dan Nor Azman (tiga dari kanan) pada majlis pengumuman perkongsian strategik bancatakaful.
SYED Mashafuddin (dua dari kiri) dan Nor Azman (tiga dari kanan) pada majlis pengumuman perkongsian strategik bancatakaful.

Kuala Lumpur: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia Keluarga) pengendali takaful pertama di Malaysia dan anak syarikat milik penuhnya, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (Takaful Malaysia Am) mengumumkan perkongsian strategik bancatakaful bersama Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) anak syarikat milik penuh Affin Bank Berhad dan bank Islam kendiri sepenuhnya yang berdedikasi untuk menawarkan produk dan perkhidmatan inovatif dan patuh syariah di Malaysia.

Perkongsian strategik pilihan ini memberi akses kepada Takaful Malaysia terhadap pangkalan pelanggan, rangkaian cawangan dan tenaga jualan Affin Islamic, membolehkan perbankan Islam ini mengembangkan tawaran produknya dalam memberikan nilai lebih besar untuk pelanggannya.

Takaful Malaysia Keluarga dan Takaful Malaysia Am memeterai perjanjian perkhidmatan bancatakaful bersama Affin Islamic untuk mempromosikan dan memasarkan produk keluarga dan takaful am yang ditawarkan Takaful Malaysia untuk tempoh lima tahun bermula pada 1 Januari 2023, dengan pilihan untuk Affin Islamic meneruskan perkongsian untuk lima tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, pihaknya berbesar hati mengukuhkan kerjasama bersama Affin Islamic.

"Perkongsian strategik kami selama ini berjaya memacu jualan tahunan yang membanggakan serta pertumbuhan keuntungan perniagaan baharu mampan.

"Perkongsian bancatakaful melambangkan komitmen kami menyediakan pelanggan Affin Islamic akses kepada rangkaian produk takaful inovatif untuk memenuhi keperluan perlindungan mereka yang semakin meningkat dan membangunkan penasihat perniagaan takaful keluarga.

"Terdapat peluang besar untuk pertumbuhan masa depan dalam perniagaan bancatakaful dan perkongsian strategik pilihan ini juga mencerminkan dedikasi untuk memanfaatkan keupayaan kami memberi manfaat kepada pelanggan Affin Islamic," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Takaful Malaysia yang bakal memberi impak kewangan dan kini dijangka menjadi material dalam Pelan A25 AFFIN.

"Perkongsian ini membuka peluang kepada pelanggan kami mendapat manfaat daripada rangkaian luas produk dan penyelesaian takaful keluarga dan am," katanya.

"Adalah penting untuk kita menyesuaikan diri dengan cepat kepada persekitaran perniagaan dinamik melalui inovasi dan produk lebih baik untuk kekal relevan dalam pasaran.

"Kami yakin semua usaha ini menyumbang ke arah mengubah Affin menjadi bank lebih progresif dan moden," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 7:00 AM