MAJLIS menandatangani memorandum persefahaman antara Pharmaniaga dan Bionet. - Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB
MAJLIS menandatangani memorandum persefahaman antara Pharmaniaga dan Bionet. - Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB

PHARMANIAGA LifeScience Sdn Bhd (PLS), anak syarikat milik penuh syarikat farmaseutikal terbesar di Malaysia, Pharmaniaga Berhad akan memulakan proses pembangunan vaksin Hexavalent gabungan enam dalam satu untuk kanak-kanak di Malaysia menerusi kerjasama dengan BioNet-Asia Co Ltd (BioNet) yang berpangkalan di Thailand.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, inisiatif itu adalah selaras dengan perancangan Pharmaniaga untuk membangunkan kilang vaksin halal di dunia yang akan turut membantu Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada vaksin penting yang diimport.

"Pharmaniaga akan menjalankan ujian praklinikal dan klinikal secara meluas untuk menunjukkan tindak balas imun pelindung Vaksin Hexavalent terhadap enam jenis penyakit iaitu difteria (DT), tetanus (TT), pertusis (aP), poliomielitis (IPV), Haemophilus jenis b (Hib), dan hepatitis B (Hep-B).

"Ia akan menjadi vaksin gabungan halal pertama yang dihasilkan di Malaysia.

"Pengeluaran vaksin tempatan juga akan meningkatkan jaminan bekalan ubat-ubatan negara dalam menghadapi ancaman pandemik pada masa hadapan.

"Sebaik sahaja siap menghasilkan formulasi vaksin Hexavalent, syarikat akan berganding bahu dengan pengusaha vaksin di peringkat antarabangsa bagi mempercepatkan program kami agar dapat memenuhi permintaan untuk vaksin yang berkualiti tinggi, selamat dan berkesan ini," katanya kepada media di majlis menandatangani perjanjian kerjasama penyelidikan (RCA) antara Pharmaniaga dan BioNet, kelmarin.

Hadir sama, Presiden BioNet, Vitoon Vonghangool, Pengerusi Pharmaniaga, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique dan Ketua Pegawai Eksekutif BioNet, Dr Hong Thai Pham.

Zulkarnain berkata, vaksin Hexavalent ini dijangka siap pembangunannya dan mendapat kelulusan menjelang 2026, untuk digunakan di Malaysia dan negara strategik lain dengan unjuran nilai pasaran tempatan tahunan melebihi RM200 juta dan pasaran serantau tahunan dianggarkan berjumlah RM600 juta hingga RM700 juta.

Sementara itu, Vitoon berkata, pihaknya bangga Pharmaniaga memilih BioNet sebagai rakan kongsi untuk membangunkan vaksin Hexavalent yang mengandungi vaksin pertusis rekombinan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 6:10 AM