TABUNG Haji.
TABUNG Haji.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Toleransi Tabung Haji (TH) terhadap risiko pelaburan yang sederhana adalah berpadanan dengan tunjang utama penubuhannya yang menumpukan kepada pengurusan ibadah haji yang cekap dan tidak tertakluk kepada aktiviti pelaburan semata-mata.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, institusi kewangan Islam itu membuat pengagihan keuntungan atau dividen kepada pendeposit selepas zakat, dan ini berbeza dengan institusi pelaburan lain di Malaysia yang membuat pembahagian dividen terus kepada pelabur mereka.

Justeru katanya, kadar agihan keuntungan Tabung Haji yang memenuhi keperluan syariah sedikit berbeza jika dibandingkan dengan institusi pelaburan lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkadaran dengan tahap toleransi risiko yang diambil.

Sebelum ini, Tabung Haji membuat agihan keuntungan selepas zakat masing-masing sebanyak 1.25 peratus pada tahun kewangan 2018, 3.05 peratus pada tahun kewangan 2019 dan 3.10 peratus pada tahun kewangan 2020 dan 2021.

Beliau menjangkakan agihan keuntungan Tabung Haji bagi tahun kewangan 2023 stabil atau lebih sedikit, namun tidak jauh beza daripada 3.10 peratus pada tahun kewangan 2022.

Mohd Afzanizam berkata, berdasarkan peruntukan aset strategik bagi Tabung Haji, pelaburan pendapatan tetap mewakili pelaburan terbesar iaitu 60 peratus diikuti ekuiti (22 peratus), hartanah (sembilan peratus), pasaran wang (lapan peratus) dan lain-lain (satu peratus).

"Memandangkan kadar pulangan sukuk yang diterbitkan Kerajaan Malaysia atau Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) rata-ratanya menurun berbanding tahun sebelumnya, maka ini memberi peningkatan nilai modal dan pelaburan yang baik kepada Tabung Haji," katanya.

Beliau berkata, ketidaktentuan ekonomi global serta faktor geopolitik, pastinya memberi kesan kepada prestasi pasaran modal yang dilaburkan oleh Tabung Haji.

"Sememangnya toleransi risiko bagi Tabung Haji adalah sederhana. Justeru, pendekatan untuk melabur dalam instrumen pendapatan tetap dilihat langkah yang tepat bagi memastikan modal pendeposit tidak terhakis akibat daripada risiko pelaburan yang tinggi," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, barisan pengurusan Tabung Haji yang terdiri daripada kumpulan profesional dan berpengalaman luas akan memastikan pelaburan institusi itu berkembang pesat sesuai dengan tahap toleransi risikonya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, walaupun dalam persekitaran yang mencabar institusi itu dijangka terus mampan kerana majoriti pelaburannya tidak berisiko tinggi, namun pada masa yang sama, strategi pelaburannya dapat memberi pulangan yang munasabah kepada pendeposit.

"Saya melihat kemungkinan agihan keuntungan Tabung Haji kali ini akan kekal 3.1 peratus atau lebih sedikit seperti 3.2 peratus," katanya sambil menambah institusi itu juga boleh menimbang potensi pelaburan patuh syariah di luar negara yang dapat memberi pulangan lebih tinggi dari sedia ada.

Ahli Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Barjoyai Bardai pula menjangkakan dividen Tabung Haji bagi tahun kewangan 2023 adalah sekitar 2.0 ke 3.0 peratus.

"Jangkaan itu masih boleh dianggap satu prestasi yang baik memandangkan pendeposit menerima keuntungan bersih selepas penolakan zakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 1:32 PM