Celcom tawarkan perkhidmatan 5G mulai 1 November.
Celcom tawarkan perkhidmatan 5G mulai 1 November.

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad (Celcom) mengumumkan bahawa mulai 1 November 2022, pelanggan Celcom, termasuk pelanggan Celcom Business yang mempunyai peranti berdaya 5G dan melanggan pelan pascabayar dan prabayar Celcom terpilih, secara automatik akan dapat mengakses perkhidmatan rangkaian 5G dalam kawasan 5G terpilih.

Dalam tempoh pengenalan ini, Celcom mengetepikan yuran akses 5G mengikut kuota internet mereka sehingga 31 Disember 2022.

Selain itu, pelanggan Celcom dengan peranti berdaya 5G juga akan dapat menikmati pelbagai Kandungan Realiti Maya 5G serta perkhidmatan perayauan 5G di 14 negara.

Celcom juga akan menjalankan pelbagai jerayawara dan acara di seluruh negara untuk memaparkan keupayaan perkhidmatan 5G.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Idham Nawawi berkata, pihaknya teruja untuk menyokong aspirasi digital negara dan menyampaikan perkhidmatan 5G kepada semua rakyat Malaysia.

"Dengan memanfaatkan liputan terluas Celcom, pelanggan kami akan dapat menikmati perkhidmatan yang boleh dipercayai dengan prestasi rangkaian yang konsisten.

"Celcom akan bekerjasama secara berterusan dengan rakan kongsi teknologi tempatan dan antarabangsa ke arah pembangunan ekosistem 5G yang pelbagai di Malaysia untuk menawarkan penyelesaian 5G merentasi

pelbagai industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 3:51 PM