Idham Nawawi
Idham Nawawi
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad (Celcom) akan meneruskan usaha dalam mempertingkat kualiti liputan dan pengalaman rangkaian 4G serta memastikan pelanggan dapat beralih daripada 3G ke 4G dengan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Celcom, Idham Nawawi berkata, pihaknya juga giat memperluas capaian perkhidmatan konvergen jalur lebar bagi meneruskan momentum pertumbuhan seterusnya termasuk dalam menerima kehadiran teknologi 5G.

Katanya, melalui pelaburan rangkaian yang dipacu, Celcom sudah menaik taraf dan mengoptimumkan lebih 7,000 tapak rangkaian, mempertingkat kapasiti dan liputan bagi kawasan luar bandar dan bandar dengan 93 peratus liputan 4G di seluruh negara.

"Sebagai tambahan, pelaburan rangkaian yang dipacu Celcom turut memfokuskan persediaan rangkaian untuk penamatan perkhidmatan 3G menjelang hujung tahun 2021.

"Bagi memastikan rakyat Malaysia kekal terhubung secara digital dengan perkhidmatan rangkaian 4G di rangkaian terluas negara ini, Celcom sudah melancarkan pelbagai pakej dan tawaran peranti yang menarik untuk memudahkan pelanggan bertukar daripada peranti 3G kepada telefon pintar 4G melalui pelbagai saluran.

"Celcom sudah melaksanakan pelaburan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM166 juta, dengan sebahagian besar dilakukan untuk memodenkan rangkaian.

"Kumpulan juga bersedia dengan teknologi 5G jika infrastruktur rangkaian itu sudah tersedia di Malaysia dan kami akan terus fokus untuk mendahului industri sebagai penyedia rangkaian terluas di Malaysia," katanya pada sidang media sempena prestasi kewangan suku pertama 2021 Celcom secara maya di sini, hari ini.

Menurutnya, Celcom juga akan menjalin kerjasama yang lebih erat dengan kerajaan dan pemain industri bagi mencapai aspirasi digital negara dan mewujudkan situasi 'menang bersama' yang akan memberi faedah kepada rakyat kerajaan dan ekosistem digital.

Celcom mencatat keuntungan tahun ke tahun (YoY) lebih baik digabungkan dengan pertumbuhan pendapatan sebanyak 5.4 peratus kepada RM84 juta serta peningkatan pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilainya (Ebitda) sebanyak 27.6 peratus kepada RM142juta.

Idham berkata, tanpa mengambil kira kesan 'one-off' dari penyusutan aset 3G yang dipacu, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) meningkat 13.2 peratus bersama peningkatan prestasi melalui kos kewangan bersih yang lebih rendah.

Beliau berkata, pelanggan prabayar meningkat sebanyak 17.7 peratus kepada 893,000, dipacu oleh Pelan Celcom Xpax Truly Unlimited dengan pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) kukuh pada RM30.

Pelanggan pascabayar pula katanya, turut melonjak 4.1 peratus kepada 120,000 disokong oleh penambahbaikan pelan Celcom MEGA dan Celcom XP Lite.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 2:03 PM