Nicole (kiri) dan Noudhy pada pelancaran kempen #JomJagaPrivasi Meta. - FOTO NSTP
Nicole (kiri) dan Noudhy pada pelancaran kempen #JomJagaPrivasi Meta. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Meta sentiasa memberi komitmen sepenuhnya termasuk menyalurkan pelaburan berterusan dalam membangunkan cara baru bagi memperkasa orang ramai mengambil langkah sepatutnya untuk melindungi privasi dan menjaga keselamatan akaun dalam talian mereka.

Pengarah Negara, Meta di Malaysia, Nicole Tan berkata, Meta menganjurkan kempen #JomJagaPrivasi bagi mengukuhkan usaha berterusan Meta untuk meningkatkan kadar celik digital dan komitmen untuk menyokong komuniti setempat.

Katanya, menerusi kempen ini, ia akan melengkapkan pengguna dengan sumber dan alat yang boleh mengawal perkara yang dikongsi, mempelajari mengenai ketersediaan alat dan ciri privasi, memperibadikan iklan yang dilihat dan memastikan akaun mereka sentiasa selamat pada platform Meta.

"Melindungi privasi pengguna ialah perkara yang harus dilakukan untuk komuniti dan perniagaan kami.

"Setiap hari, orang ramai bergantung pada platform kami untuk berhubung antara satu sama lain melalui Facebook, Instagram dan WhatsApp.

"Oleh demikian, adalah penting untuk orang ramai memahami apa yang mereka kongsi dalam talian.

"Itulah sebabnya kami teruja untuk melancarkan kempen #JomJagaPrivasi yang akan menyediakan kaedah pembelajaran yang mudah difahami untuk rakyat Malaysia mempelajari cara mengawal tetapan privasi mereka," katanya di majlis pelancaran #JomJagaPrivasi di sini, hari ini.

Kempen #JomJagaPrivasi dilakukan secara hibrid, dalam talian dan luar talian untuk rakyat Malaysia lebih memahami kawalan privasi dalam aplikasi Meta dan membawa pendidikan secara terus kepada pengguna melalui pengalaman 'pop-up' fizikal yang pertama di kafe The Farm Craft, Bangsar South yang dibuka kepada orang ramai mulai 28 hingga 30 Oktober ini.

Pengguna yang melengkapkan kuiz privasi akan menerima hidangan pencuci mulut dan minuman edisi terhad percuma.

Sementara itu, Ketua Dasar Awam Malaysia di Meta, Noudhy Valdryno berkata, awal tahun ini, pihaknya sudah mengemas kini Dasar Privasi dan juga Pusat Privasi untuk memudahkan orang ramai memahami dan mengetahui cara membentuk pengalaman mereka dengan produk Meta.

"Kami komited dengan visi Meta untuk platform yang memberi tumpuan kepada privasi. Inilah sebabnya kami terus membina alat-alat untuk memberi pengguna lebih ketelusan mengenai cara data mereka digunakan. Kami mereka bentuk setiap produk dan ciri dengan mengambil kira privasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 2:51 PM