Ibu pejabat Meta di Menlo Park, California. - FOTO AFP
Ibu pejabat Meta di Menlo Park, California. - FOTO AFP
Reuters

San Francisco: Saham pengendali Facebook, Meta Platforms Inc merudum lebih 20 peratus pada lewat Rabu selepas syarikat media sosial itu merekodkan prestasi lemah berbanding sasaran ditetapkan.

Ia menuding jari kepada perubahan ciri privasi Apple dan peningkatan persaingan daripada TikTok.

Buat pertama kalinya, jumlah pengguna aktif harian Facebook juga merosot berbanding suku sebelum ini kepada 1.92 bilion daripada 1.93 bilion.

Meta berkata, ia berdepan masalah yang berpunca daripada perubahan ciri privasi sistem operasi Apple yang menyebabkan jenama sukar meletakkan sasaran bagi iklan di Facebook dan Instagram.

Malah, katanya isu makroekonomi seperti gangguan rantaian bekalan juga memberi kesan kepada prestasi hambar ini.

Meta berkata, Facebook juga berdepan tekanan persaingan daripada TikTok dan YouTube serta menjangkakan pertumbuhan perolehan perlahan pada suku akan datang kerana perubahan pembabitan pengguna yang beralih ke platform lain.

Ciri video pendek yang ditawarkan, Reels, juga mencatatkan perolehan rendah.

Facebook mencatatkan 2.91 bilion pengguna aktif bulanan pada suku keempat lalu, yang menunjukkan tiada sebarang pertumbuhan berbanding suku sebelumnya.

Kemerosotan dalam saham Meta menguncup AS$200 bilion (RM837 bilion) daripada nilai pasarannya, manakala pesaingnya Twitter Inc, Snap Inc dan Pinterest Inc kerugian AS$15 bilion (RM62.8 bilion) nilai pasaran.

Meta, pemegang platform pengiklanan digital kedua terbesar dunia selepas Google, sebelum ini memberi amaran bahawa perniagaan pengiklanannya akan menempuh suku keempat yang 'tidak menentu'.

Ketua pegawai kewangan Meta, Dave Wehner berkata dalam sidang media bersama penganalisis bahawa perubahan tetapan privasi Apple memberi kesan sehingga AS$10 bilion (RM41.8 bilion) pada 2022.

Perubahan Apple terhadap perisian operasinya memberi pengguna pilihan untuk menghalang aplikasi menjejak aktiviti dalam talian, sehingga menyukarkan pengiklan untuk mendapatkan data pengguna yang tepat untuk jenama mereka.

Meta mencatatkan keuntungan suku tahunan AS$10 bilion, yang melepasi jangkaan di samping ramalan suram, menyebabkan saham menjunam kira-kira 20 peratus Rabu lalu.

Kos di Meta melonjak 38 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dan bilangan pekerja meningkat 23 peratus kepada 71,970 menjelang akhir tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 4:43 PM