Pharmaniaga sasar pengkomersialan vaksin dan insulin masing-masing pada tahun 2024 dan 2025.
Pharmaniaga sasar pengkomersialan vaksin dan insulin masing-masing pada tahun 2024 dan 2025.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kilang vaksin halal dan insulin Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), yang masing-masing akan siap menjelang 2024 dan 2025, akan membantu negara menjadi lebih berdikari dan mengurangkan pergantungan import terhadap vaksin dan insulin yang kritikal.

Dalam satu kenyataan, syarikat induknya Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) berkata kemajuan pembinaan kini mencapai tahap 90 peratus bagi kilang vaksin dan 70 peratus bagi kilang insulin.

PLS menyasarkan pengkomersialan vaksin dan insulin masing-masing pada tahun 2024 dan 2025.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata kilang itu juga akan menyediakan jaminan ubat-ubatan untuk negara daripada sebarang ancaman pandemik pada masa hadapan.

"Projek-projek vaksin dan insulin halal ini yang dijalankan di kilang teknologi tinggi kami yang diperakui Kesatuan Eropah adalah usaha pertama di dunia sejajar dengan tonggak pertumbuhan strategik kumpulan yang akan memacu pertumbuhan masa depan industri biofarmaseutikal halal negara," katanya.

Zulkarnain berkata PLS akan bekerjasama dengan rakan kongsi terkemuka untuk pemindahan teknologi. Selaras dengan hasrat itu, pendaftaran telah dilakukan dengan pihak berkuasa untuk produk yang akan dihasilkan di kilang itu.

Pada awal Oktober, PLS menerima penghantaran peralatan untuk kilang vaksin itu, yang terdiri daripada mesin pencuci-pensteril, denester dan mesin pemeriksaan visual automatik selepas melengkapkan ujian penerimaan kilang pada Julai 2022.

Bahagian pembuatan Pharmaniaga terdiri daripada enam kilang pembuatan di seluruh Malaysia dan dua di Indonesia. Produk mereka terdiri daripada farmaseutikal hingga nutraseutikal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 3:24 PM