JUBIN
JUBIN

Kuala Lumpur: Tune Protect Malaysia (Tune Protect), anak syarikat Insurans Am Malaysia bagi Tune Protect Group Berhad (Kumpulan) melancarkan insurans penyakit kritikal pertamanya, Critical Safe+, insurans kesihatan dalam talian yang melindungi pelanggan daripada penyakit kritikal tahap lanjutan pada harga mampu milik, pilihan fleksibel dan pelbagai manfaat.

Ia direka untuk membantu pelanggan menangani masalah kewangan selepas diagnosis penyakit kritikal sambil memberi tumpuan kepada pemulihan dengan ketenangan fikiran.

Tune Protect menyediakan komitmen 3:3:3 di mana pelanggan boleh membeli dalam masa tiga minit, menerima jawapan dalam masa tiga jam dan mendapatkan bayaran tuntutan mereka dalam masa tiga hari bekerja.

Sempena dengan pelancaran Critical Safe+, Tune Protect memberikan komitmen untuk membayar tambahan 1.0 peratus daripada jumlah yang diinsuranskan jika pelanggan tidak menerima tuntutan dalam masa tiga hari bekerja dari tarikh kelulusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Malaysia, Jubin Mehta berkata, keadaan ekonomi semasa Malaysia menyebabkan kelesuan kewangan bagi golongan bekerja.

"Peningkatan kos sara hidup dan perubatan tidak dicerminkan dalam taraf hidup, di mana individu terdedah kepada masalah kesihatan dan penyakit.

"Peningkatan kos kemudahan penjagaan kesihatan dan gaya hidup bekerja yang mengutamakan hasil menunjukkan kekurangan penekanan terhadap kesihatan.

"Dengan Critical Safe+, pelanggan boleh menyesuaikan pelan insurans berdasarkan bajet mereka dan mendapatkan perlindungan kewangan yang diperlukan terhadap penyakit kritikal ini," katanya.

Critical Safe+ menyediakan tiga pilihan berbeza; Top 2, Top 5 dan kesemua 39 penyakit kritikal dengan jumlah perlindungan insurans dari RM30,000 sehingga RM200,000.

Pelanggan boleh memilih mana-mana daripada tiga pilihan ini berdasarkan keperluan perlindungan dan bajet mereka.

Ketiga-tiga pilihan merangkumi tahap lanjutan penyakit kritikal dengan bayaran 100 peratus selepas diagnosis. Bagi pelanggan yang ingin meningkatkan tahap perlindungan, mereka boleh memilih Top 5 atau kesemua 39 pilihan penyakit kritikal yang memberikan mereka fleksibiliti untuk menambah Early Stage Cover (Perlindungan Peringkat Awal) dan Diabetic Care Disease (Penyakit Penjagaan Diabetik) dengan premium tambahan ke atas pelan utama mereka.

Early Stage Cover membayar 50 peratus daripada jumlah yang diinsuranskan ketika diagnosis manakala Diabetic Care Disease menawarkan jumlah diinsuranskan tambahan sehingga RM50,000.

Pilihan Top 2 memberikan pelanggan perlindungan insurans terhadap serangan jantung dan kanser; Top 5 pula merangkumi serangan jantung, kanser, strok, penyakit arteri koronari serius dan kegagalan buah pinggang dan semua 39 pilihan penyakit kritikal merangkumi senarai penyakit kritikal yang lebih komprehensif.

Critical Safe+ tersedia dalam talian melalui laman sesawang dan aplikasi mudah alih Tune Protect, dan semua pembelian dalam talian layak untuk diskaun sebanyak 15 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 7:01 AM