PREMIUM bermula dari serendah RM170 setiap penumpang bagi setiap perjalanan.
PREMIUM bermula dari serendah RM170 setiap penumpang bagi setiap perjalanan.

TUNe Protect Group Bhd (Tune Protect) dan AirAsia Group Bhd (AirAsia) memperkenalkan Covid Travel Pass, pelan perlindungan insurans untuk pelancong.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata, pelan Covid Travel Pass lengkap dengan perlindungan Covid-19 yang dipertingkatkan untuk memenuhi syarat kerajaan Malaysia bagi pelancong antarabangsa yang datang ke Langkawi untuk mempunyai perlindungan insurans mandatori sebanyak AS$80,000 manakala untuk Thailand, perlindungan mandatori yang diperlukan AS$50,000.

Beliau berkata, buat ketika ini pelan perlindungan itu dimulakan di Langkawi serta beberapa destinasi di Thailand sebelum diperluaskan ke destinasi lain seluruh dunia.

Katanya, penumpang AirAsia ke Langkawi dan beberapa destinasi di Thailand boleh melanggan Covid Travel Pass ketika menempah tiket penerbangan melalui airasia Super App, selain pilihan langganan selepas pembelian tiket penerbangan sebelum berlepas.

Malah katanya, pelancaran pelan Covid Travel Pass itu juga tepat pada masanya kerana memenuhi keperluan pelancongan hujung tahun serta jangkaan pembukaan sempadan serantau dan antarabangsa tidak lama lagi.

"Selaras pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia dan Thailand, AirAsia bersedia memenuhi peningkatan permintaan pelancongan terutama menjelang akhir tahun.

"Dengan protokol baharu dalam sektor pelancongan, kami ingin meyakinkan pelanggan bahawa kami bersedia untuk mengalu-alukan mereka dengan produk perlindungan perjalanan yang tepat, disediakan oleh Tune Protect," katanya dalam kenyataan, semalam.

Lingam berkata, AirAsia juga sudah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama setahun setangah yang lalu untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangannya demi keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

Beliau berkata, AirAsia hanya akan menerima tetamu yang divaksin sepenuhnya dalam penerbangannya dan memastikan semua penerbangan dikendalikan juruterbang dan kru kabin yang divaksin sepenuhnya termasuk kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal.

Bagi pelancong antarabangsa AirAsia yang akan ke Langkawi, Covid Travel Pass menyediakan perlindungan sehingga RM350,000 meliputi kos perubatan dan kemasukan ke hospital akibat kemalangan dan penyakit termasuk jangkitan Covid-19, serta elaun kuarantin sebanyak RM150 sehari.

Premium bermula dari serendah RM170 setiap penumpang bagi setiap perjalanan.

Bagi tetamu AirAsia ke Thailand, Covid Travel Pass menyediakan perbelanjaan perubatan akibat kemalangan dan penyakit akibat Covid-19 sehingga THB1.8 juta.

Faedah sedia ada lain Covid Travel Pass termasuk kemalangan peribadi, kesulitan perjalanan seperti pemendekkan perjalanan, kelewatan penerbangan, kehilangan atau kerosakan pada bagasi yang didaftar masuk, kelewatan bagasi semasa ketibaan; faedah kesulitan darat akibat ragut, pemindahan perubatan kecemasan dan perkhidmatan bantuan perjalanan 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 7:10 AM