AZIZAH (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada peserta.
AZIZAH (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada peserta.

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (Mara) melancarkan Program Pemerkasaan Usahawan Orang Kurang Upaya (Power) bagi membantu usahawan OKU mendalami pendigitalan perniagaan melalui kursus pemasaran e-dagang.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, program yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) ini memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk memastikan OKU terbabit dalam agenda pembangunan negara.

Katanya, golongan ini akan dibantu melalui ekosistem keusahawanan Mara yang lengkap dan menyeluruh meliputi latihan keusahawan, kemudahan pembiayaan serta penyewaan premis perniagaan.

"Untuk fasa awal ini, Mara akan lengkapi mereka dengan ilmu pendigitalan perniagaan kerana kita sedar sejak negara dilanda pandemik Covid-19, trend perniagaan berubah secara dalam talian.

"Saya dimaklumkan, seramai 22 orang peserta OKU yang telah dipilih oleh Mara dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan kursus pemasaran e-dagang bermula 22 hingga 23 Ogos lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Mara turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM1.5 juta pada tahun ini untuk Program Pembangunan Usahawan OKU yang merangkumi latihan keusahawanan dan kemudahan pembiayaan perniagaan.

"Secara kumulatifnya sejak tahun 2013, Mara menyalurkan peruntukan sebanyak RM7.16 juta yang memberi manfaat kepada seramai 424 usahawan OKU meliputi latihan keusahawanan dan kemudahan pembiayaan," katanya.

Menurutnya, komitmen berterusan Mara dalam memastikan pembabitan golongan OKU dalam bidang keusahawanan sejajar dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan insklusif untuk masyarakat termasuk golongan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 8:00 AM