DARI kanan,  Mohd Muazzam,  Pengurus Besar Hubungan Strategik Bank Islam, Mohd Nazri Chik,  Exco MBM, Datuk Syed Osman dan Presiden MBM, Juftri Joha pada majlis menandatangani MoU.
DARI kanan, Mohd Muazzam, Pengurus Besar Hubungan Strategik Bank Islam, Mohd Nazri Chik, Exco MBM, Datuk Syed Osman dan Presiden MBM, Juftri Joha pada majlis menandatangani MoU.

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) kini memperluas kemudahan pembiayaan mikro BangKIT kepada segmen usahawan siswa dan belia bagi menggalakkan golongan muda menceburi bidang keusahawanan, selain menyokong kelangsungan dan perkembangan perniagaan sedia ada.

Usaha itu membabitkan pemeteraian perjanjian usaha sama strategik antara Bank Islam dengan dua Rakan Pelaksana baharu iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Dilancarkan pada 25 November tahun lalu, kemudahan pembiayaan mikro BangKIT memanfaatkan sumbangan atau sedekah yang diterima daripada masyarakat umum atau organisasi melalui Dana Kekal platform pendanaan awam Bank Islam, Sadaqa House, bagi membantu usahawan mikro layak.

Penerima kemudahan pembiayaan ini akan turut diberi latihan dan bimbingan perniagaan secara praktikal yang dijalankan oleh Rakan Pelaksana bagi memastikan pertumbuhan dan kemampanan perniagaan yang diusahakan.

Menerusi sinergi berimpak tinggi dengan rakan pelaksana lain, BangKIT juga membimbing usahawan mikro yang sebelum ini tidak mendapat perkhidmatan perbankan untuk menjadi kumpulan pelanggan yang layak mendapat perkhidmatan perbankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya menghargai kesudian UMK dan MBM menjadi Rakan Pelaksana pembiayaan mikro BangKIT bagi segmen usahawan siswa dan belia.

"Menerusi penyediaan kemudahan ini, Bank Islam bukan sahaja dapat menyediakan sokongan dana yang diperlukan bagi membantu perniagaan dimiliki oleh golongan muda, tetapi memperkasakan pengetahuan dan kemahiran usahawan siswa dan belia terbabit berdaya tahan, inovatif dan bersaing dalam persekitaran perniagaan yang mencabar hari ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihaknya berharap supaya usaha ini dapat memberi motivasi dan memperkukuhkan ekonomi kehidupan usahawan siswa dan belia, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pembabitan golongan muda dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

"Sebelum ini, kami menyantuni usahawan mikro wanita untuk menawarkan kemudahan BangKIT menerusi jalinan kerjasama dengan beberapa Rakan Pelaksana seperti People Systems Consultancy, MADCAT World dan Noble Management & Consultancy.

"Kini, perkhidmatan pembiayaan diperluaskan kepada siswa dan belia melalui pemeteraian perjanjian dengan UMK diikuti MBM.

"Harapan kami supaya kemudahan kewangan sosial ini dapat melahirkan usahawan berdaya maju yang dapat menyumbang kepada kemakmuran masyarakat setempat.

"Kami turut bersedia untuk bekerjasama dengan lebih banyak universiti awam dan swasta bagi usaha ini," katanya.

Pembiayaan Mikro BangKIT ditawarkan di bawah kontrak Qard (pinjaman tanpa faedah).

Ia menyediakan pembiayaan serendah RM500 hingga RM3,000 bagi perniagaan baharu dan RM3,000 sehingga RM20,000 bagi tujuan pengembangan perniagaan.

Tempoh bayaran balik pembiayaan adalah antara enam bulan sehingga tiga tahun.

Bank Islam akan mempergiatkan lagi usaha untuk membantu sektor keusahawanan siswa dan belia dengan bekerjasama Rakan Pelaksana daripada beberapa institusi pengajian tinggi lain pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 6:58 AM