MUHAMMAD Hazwan (kanan) berbincang bersama Pengarah Projek dan Pembangunan Perniagaan, Khairi Apandi (kiri) dan Pengurus Perniagaan, Ahmad  Fazwan Ahmad Awalludin. - Gambar NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
MUHAMMAD Hazwan (kanan) berbincang bersama Pengarah Projek dan Pembangunan Perniagaan, Khairi Apandi (kiri) dan Pengurus Perniagaan, Ahmad Fazwan Ahmad Awalludin. - Gambar NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

ECO Next Technologies Sdn Bhd (Exo Next), merancang untuk memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM100 juta dalam tempoh lima tahun bagi projek pembinaan insfratrukur fiber optik, penyelenggaraan serta meluaskan perkhidmatannya untuk menjadi penyedia telekomunikasi tempatan yang mengetengahkan penggunaan internet benda (IoT).

Pengarah Urusan, Muhammad Hazwan Saari berkata, sejak ditubuhkan pada 2014, syarikat itu terus mendapat kepercayaan daripada penyedia telekomunikasi utama di negara ini terutama kerja sivil membina infrastrukur bermula daripada korek tanah, penanaman tiang dan paip untuk teknologi fiber optik.

Katanya, selain itu Eco Next juga menceburi bidang peruncitan dengan menjadi pengedar sah Allo (anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad) dalam menyediakan perkhidmatan internet jalur lebar kepada pengguna.

"Setakat ini, kira-kira 25,000 rumah di Jasin, Alor Gajah (Melaka), Ipoh dan Aman Jaya (Perak)

sudah mendapat perkhidmatan internet melalui Eco Next dan akan datang kami akan memastikan 3,000 premis di Bandar Klang dan Port Dickson tersedia dengan internet (melalui projek di bawah Maxis).

"Bagi insfratrukur fiber optik pula, Eco Next mendapat projek syarikat utama telekomunikasi yang memfokus negeri seperti Selangor, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

"Eco Next juga menggunakan teknologi Horizontal Directional Drilling (HDD) untuk kerja mengorek dan menanam paip fiber yang mana ia tidak akan merosakkan jalan raya," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, tahun ini syarikat itu menyasarkan peningkatan pendapatan RM10 juta berbanding RM6 juta direkodkan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 5:08 PM