TENGKU Ahmad Badli (kiri) menyerahkan replika kad Takaful Kasih kepada Abdul Rahman sambil disaksikan Haslina.
TENGKU Ahmad Badli (kiri) menyerahkan replika kad Takaful Kasih kepada Abdul Rahman sambil disaksikan Haslina.

Kuala Lumpur: Agrobank menyerahkan replika kad Takaful Kasih untuk pesawah di bawah program Komuniti Industri Tani Bernas (Kita).

Ia usaha sama antara Agrobank dan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) untuk membina komuniti tani mampan, sekali gus menawarkan peluang dan nilai tambah melangkaui perbankan kepada setiap pesawah bagi meneraju peningkatan hasil padi dalam pasaran Malaysia.

Penyerahan replika kad Takaful Kasih disempurnakan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin kepada Ketua Bahagian Pengurusan Konsesi dan Aktiviti Huluan Bernas, Abdul Rahman Mohd Nasri.

Ia disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Tengku Ahmad Badlishah berkata, pelan perlindungan Takaful Kasih Plus dibangunkan khas Agrobank untuk membantu dan menambah pelan perlindungan takaful kepada ahli Program Kita serta dalam masa sama menarik minat lebih ramai pengusaha tanaman padi agar turut menjadi ahli dengan nilai sumbangan serendah lima sen sehari atau hanya RM21.20 setahun.

Beliau berkata, ia juga kesinambungan daripada usaha berterusan Agrobank untuk terus mendukung pertumbuhan sektor pertanian dan agromakanan negara, selaras Dasar Agromakanan Negara yang bertujuan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan.

"Terutama dalam keadaan semasa yang tidak menentu ini, saya ingatkan orang ramai bahawa situasi tidak diduga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

"Oleh itu, apa yang dalam kawalan kita ialah bagaimana kita bersedia menghadapi situasi sedemikian.

"Maka, manfaat dalam Pelan Perlindungan Takaful Kasih oleh Agrobank ini sangat membantu apabila dana kecemasan kita tidak mencukupi dan jika berlaku musibah kematian misalnya, manfaat takaful dapat mengurangkan beban ditanggung waris," katanya.

Setakat hari ini, lebih 6,000 pesawah KITA menerima perlindungan Takaful Kasih daripada Agrobank dan pelan ini memberikan perlindungan terhadap kemalangan kepada orang yang dilindungi sebelum tamat tempoh sijil takaful.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 6:00 AM