ISMAIL Sabri diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melawat Pameran Maha. FOTO Hairul Anuar Rahim
ISMAIL Sabri diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melawat Pameran Maha. FOTO Hairul Anuar Rahim
Amir Abd Hamid

Serdang: Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan memperkenalkan Skim Insurans Takaful Agromakanan sebagai langkah memperkasakan sistem sekuriti makanan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, untuk permulaan, subsektor padi dan beras dipilih sebagai projek rintis Mafi yang bakal memanfaatkan 189,500 pesawah padi sebelum diperluas secara berperingkat kepada sektor lain seperti perikanan, tanaman dan subsektor industri makanan lain.

"Skim ini bertujuan mengurangkan implikasi kewangan akibat kehilangan hasil tanaman berikutan berlakunya bencana alam seperti banjir dan kemarau serta gangguan wabak penyakit.

"Pesawah akan dipastikan menerima ganti rugi atau pampasan yang setimpal sekiranya berlaku gangguan terhadap produktiviti pengeluaran padi negara seperti bencana alam atau wabak penyakit.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (Maha) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara, Mafi melalui Agrobank memperuntukkan sebanyak RM800 juta kepada komuniti pertanian di bawah Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM).

"Berikutan sambutan yang memberangsangkan, kerajaan bersetuju menambah RM200 juta lagi dalam dana pembiayaan kos rendah untuk menjadikannya RM 1 bilion bagi manfaat seluruh komuniti pertanian agromakanan kita.

"Agrobank juga akan menubuhkan sebuah entiti pelaburan khusus dalam masa terdekat untuk sektor pertanian bagi meningkatkan pelaburan domestik dalam sektor agromakanan negara.

"Bersempena Maha 2022, saya juga ingin mengumumkan berita baik kepada individu termasuk graduan yang ingin memulakan perniagaan mikro berasaskan makanan di

rumah (home-based), membeli mesin bagi tujuan perniagaan makanan, atau pembelian motosikal bagi tujuan penghantaran makanan menerusi platform e-hailing

dan seumpamanya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM50 juta melalui Agrobank di bawah Program Pembiayaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) NewBiz yang akan menawarkan pembiayaan sebanyak RM5,000 bagi peringkat pertama dan RM10,000 bagi peringkat kedua.

Katanya, di bawah program itu, pemohon diberikan moratorium bagi tempoh enam bulan pertama dan dikenakan tiga peratus kadar keuntungan bagi bulan ketujuh dengan tempoh maksimum pembiayaan sehingga 60 bulan atau lima tahun.

"Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), sektor agromakanan dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun sekali gus menjadikan sektor ini sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kita perlu bergerak selari dengan trend terkini yang menitik beratkan soal keselamatan makanan, jaminan bekalan makanan, nutrisi dan juga ketahanan dalam sistem makanan negara," katanya.

Sementara itu, katanya, pemilihan tema Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan pada pameran Maha bertepatan dengan hasrat kerajaan memperkukuh sekuriti makanan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran selain memacu pemulihan sektor agromakanan dan membantu usahawan tani menjana sumber pendapatan.

Katanya, 28 sesi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) juga akan berlaku membabitkan nilai pelaburan lebih RM 5.6 bilion.

"Ini tidak termasuk sesi padanan perniagaan melibatkan lapan syarikat pemasar dari luar negara sebagai satu daripada usaha membawa hasil serta produk agromakanan tempatan ke pasaran antarabangsa.

"Sebanyak 15,000 peluang kerjaya dalam pelbagai sektor akan disediakan kepada golongan muda dan graduan yang sedang mencari pekerjaan menerusi Program Jamin Kerja dalam segmen Agro Job Fair," katanya.

Mengulas tarikh perasmian Maha, hari ini, katanya, tanggal 6 Ogos setiap tahun, negara meraikan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan sejak diisytiharkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada 1975.

Menurutnya, penganjuran Maha pada bulan yang sama pula menjadi wacana terbaik untuk mengetengahkan pelbagai produk baharu berkaitan pertanian yang bersandarkan teknologi terkini yang memberi manfaat kepada golongan sasar.

"Malah, Maha yang dianjurkan dalam beberapa siri sejak tahun 1999, dan kini mempunyai legasi sejarah tersendiri, juga bertujuan membolehkan sektor pertanian

melangkah maju ke hadapan.

"Bagi edisi kali ini, Maha dianjurkan pada ambang bermulanya pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 bagi menjamin sekuriti makanan melalui transformasi sistem makanan negara serta melakar hala tuju negara dalam sektor ini sehinggalah tahun 2030," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 2:08 PM